Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Lebih 17 jam berlalu, mangsa insiden tanah jerlus masih gagal ditemukan
  • NASIONAL

Lebih 17 jam berlalu, mangsa insiden tanah jerlus masih gagal ditemukan

Utusan Sarawak 9 months ago
ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia kini giat menjalankan usaha untuk mengeluarkan seorang mangsa yang merupakan pelancong dalam operasi mencari dan menyelamat, malam tadi. Seorang wanita warganegara India dipercayai terjatuh kira-kira 10 meter sebelum tertimbus akibat tanah mendap di Masjid India, Kuala Lumpur, kira-kira 8.00 pagi, semalam. FotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Kawasan Jalan Masjid India di sini menjadi tumpuan pengamal media malam tadi susulan insiden seorang pelancong wanita warga India dikhuatiri terperangkap dan tertimbus selepas terjatuh ke dalam tanah jerlus pada awal pagi, semalam. 

Setakat 12.00 tengah malam tadi, usaha mencari dan menyelamat mangsa yang dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dari Kuppam, Andhra Pradesh telah berjalan selama 16 jam namun masih tidak menunjukkan tanda-tanda positif meskipun pelbagai kaedah serta aset digunakan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan mengenai insiden itu pada 8.22 pagi sebelum 15 anggota berserta dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa serta BBP Hang Tuah dikerah ke lokasi kejadian iaitu di hadapan Malayan Mansion.

Menurut maklumat pihak berkuasa, wanita yang terperangkap dan tertimbus akibat tanah jerlus sedalam lapan meter itu dijadualkan pulang ke negaranya esok bersama ahli keluarga selepas hampir dua bulan melancong ke negara ini.

Kerja mencari dan menyelamat mangsa pada mulanya melibatkan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat serta unit anjing pengesan JBPM namun bermula 11.40 pagi, perkhidmatan jentera kren Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terpaksa digunakan berikutan sebuah kerusi diperbuat daripada konkrit yang berada di lokasi kejadian turut terjatuh ke dalam tanah jerlus itu dan dipercayai menghempap mangsa.

Seorang anggota JBPM dan seorang petugas DBKL turut diturunkan ke lubang sedalam lapan meter itu menggunakan kren namun selepas pencarian secara manual gagal menemukan mangsa, usaha mengorek kawasan mendapan dengan lebih luas menggunakan mesin jengkaut pula dilakukan.

 Susulan itu, JPBM telah menambah anggotanya bagi mencari mangsa.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman pula memaklumkan ketika kejadian, mangsa dilaporkan sedang berjalan kaki dari Selangor Mansion ke arah Lebuh Ampang namun pihaknya akan meneliti rakaman kamera litar tertutup selain mengambil keterangan saksi yang berada di lokasi.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa, proses mencari dan menyelamat mangsa perlu dilakukan secara rapi dan berperingkat kerana Indah Water Konsortium (IWK) mempunyai pelan mereka dan di kawasan tanah jerlus itu terdapat aliran air deras.

ORANG ramai melihat keadaan terkini di sekitar operasi pencarian warga India yang menjadi mangsa insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India hari ini. Insiden pada 8.20 pagi semalam menyaksikan Jayaletchumy, 48, tiba-tiba terjerlus ke lubang sedalam lapan meter ketika berjalan bersama keluarganya di hadapan Malayan Mansion, Jalan Masjid India. FotoBERNAMA

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi turut meminta orang ramai bertenang dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa bagi membolehkan kerja-kerja sewajarnya dilakukan.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa turut memasuki fasa baharu apabila pasukan SAR memasuki saluran atau ‘chamber’ kumbahan bagi meneruskan pencarian.

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Nordin Pauzi berkata dua penyelam unit skuba telah digerakkan untuk memasuki saluran itu.

Beliau berkata, jika sebelah pagi tadi operasi SAR lebih tertumpu di kawasan mangsa dilaporkan terjatuh, malam ini pencarian dilakukan di sepanjang jajaran paip kumbahan syarikat utiliti itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa pula memaklumkan operasi SAR itu ditangguhkan pada 12.30 tengah malam tadi dan akan disambung hari ini, 9.00 pagi. – Bernama

Continue Reading

Previous: Pembayaran STR Fasa 3 bermula Khamis depan libat 8.5 juta penerima
Next: SAR mangsa tanah jerlus diteruskan pagi ini

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.