MERIAH … Orang ramai hadir bagi memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri tahun 2022 di Kompleks Seri Perdana semalam. Majlis dengan tema ‘Raya Keluarga Malaysia, Syawal Dirai, Nikmat Disyukuri’ itu merupakan rumah terbuka pertama dihoskan Ismail Sabri selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada 20 Ogos 2021, serta barisan Kabinet beliau. •Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2022 di Seri Perdana di sini mencatatkan sambutan luar biasa apabila lebih 100,000 pengunjung direkodkan telah hadir setakat 4.00 petang semalam.
Berikutan sambutan luar biasa itu, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri mengambil keputusan melanjutkan majlis itu sehingga selesai meskipun ia sepatutnya berakhir 4.00 petang semalam.
“YAB PM (Ismail Sabri) tidak sampai hati melihat Keluarga Malaysia beratur panjang menunggu giliran,” menurut Pejabat Perdana Menteri.
Selain itu, majlis yang yang menurut jemputan bermula 10.00 pagi itu telah diawalkan pada 9.30 pagi berikutan sambutan dan kehadiran yang luar biasa.
Setakat pukul 4 petang, tetamu dan pengunjung masih lagi beratur menunggu giliran ke tapak majlis rumah terbuka itu di Laman Sari bagi menghadiri rumah terbuka serta bertemu Perdana Menteri yang masih lagi bertenaga menyantuni pengunjung yang datang tidak putus-putus.
Majlis dengan tema “Raya Keluarga Malaysia, Syawal Dirai, Nikmat Disyukuri” itu merupakan rumah terbuka pertama dihoskan Ismail Sabri selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada 20 Ogos 2021, serta barisan Kabinet beliau.
Menurut anggaran awal, dijangka lebih 70,000 pengunjung dan tetamu menghadiri majlis rumah terbuka itu.
Akibat pandemik COVID-19, rumah terbuka tahunan itu tidak dapat diadakan selama dua tahun. Kali terakhir ia diadakan adalah pada 5 Jun 2019 di Seri Perdana dan dihoskan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan barisan Kabinet beliau. – Bernama