SKUAD Sri Aman FA berjaya melangkah ke pusingan akhir dalam saingan Liga SSC-FAS 2021 yang akan diadakan di Bintulu 4 hingga 11 Disember nanti.
Selepas membenam cabaran Sarikei FA 3-0 minggu lalu, skuad ‘The Sleeping Croc’ itu telah mengesahkan tempat di pusingan akhir bersama Kapit FA di Zon Tengah.
Pengurus Sri Aman FA, Awang Putra Yusrie Awang Redzuan begitu gembira dengan kejayaan pasukan kendalian Sufian Ibrahim dan dibantu Ramos Sari dan Ramles Sari itu berjaya melangkah jauh dalam saingan musim ini dan menyifatkan ia kejayaan bersejarah bagi skuad Bandar Benak itu.
“Syukur Alhamdulillah, sasaran pasukan untuk ke pusingan ‘Grand Finale’ telah tercapai. Saya ucapkan terima kasih kepada pengurusan pasukan serta para pemain yang telah melaksanakan impian untuk melangkah ke pusingan akhir nanti.
“Saya amat mengharapkan dalam saingancdi Bintulu nanti, pasukan dapat menjulang nama Sri Aman sekali gus impian membawa pulang kejayaan yang paling dinanti-nantikan penduduk di sini setelah sekian lama tercapai.
“Dengan pengurusan terbaik serta pemain yang diamanahkan pada kali ini, saya percaya hasrat untuk merealisasikan impian itu tidak mustahil akan jadi kenyataan pada musim ini,” katanya kepada Utusan Sarawak semalam.
Awang Putra Yusrie turut mengingatkan kepada para pemain agar tidak terus dibuai dengan kejayaan itu, kerana ada satu perlawanan terkahir perlu diselesaikan pada minggu ini menentang Sibu FA di laman sendiri.
“Pemain-pemain disaran tidak berasa selesa atau terus dibuai mimpi indah dengan kejayaan ini, dan perlu mempertingkatkan momentum untuk perlawanan seterusnya menentang Sibu FA, petang esok,” ujarnya.
Dalam pada itu Ketua Jurulatih Sri Aman FA, Sufian Ibrahim berkata misi meneruskan momentum kemenangan pada aksi terakhir tetap menjadi buruan meski sebarang keputusan sudah tidak menjejaskan peluang pasukan pimpinannya itu di pusingan ‘Grand Finale’.
“Kami mahu gunakan perlawanan petang esok untuk perbaiki sebarang kelemahan yang terdapat dalam pasukan dan tidak akan turun hanya untuk sekadar melengkapkan jadual.
“Tiga mata menjadi sasaran kami dan tiada niat untuk hadapi perlawanan ini sambil lewa sambil berharap Sri Aman FA dapat mengakhiri cabaran di Zon Tengah dengan kemenangan sekali gus menjarakkan mata dengan pasukan-pasukan lain.
“Pada saingan ‘Grand Finale’ di Bintulu nanti, kami bersedia menghadapi sesiapa sahaja dan saya gemar Sri Aman dianggap sebagai ‘underdog’ berbanding pasukan lain yang telah layak,” ujarnya.
Ujarnya lagi, pencapaian berada dalam kelompok enam pasukan terbaik bagi tiga zon dalam saingan musim ini membuktikan mereka mempunyai sebuah skuad yang ampuh dan mampu bersaing dengan sesiapa sahaja.
Sementara itu, Sri Aman FA kini gah berada di kedudukan teratas Zon Tengah dalam saingan Liga SSC-FAS dengan mengumpul sebanyak 13 mata, sambil Kapit FA berada di kedudukan kedua dengan mengumpul lapan mata.
Oleh ADI SAFARMAN