Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Lawatan kerja bantu kenal pasti keperluan sebenar rakyat
  • Tengah
  • WILAYAH

Lawatan kerja bantu kenal pasti keperluan sebenar rakyat

Utusan Sarawak 4 hours ago
DATO’ Sri Huang Tiong Sii memeriksa keadaan sekitar di kawasan rumah panjang yang dilawatinya. Foto Pusat Khidmat Parlimen Sarikei

BINTANGOR: Penduduk rumah panjang di Meradong bakal menikmati kemudahan yang lebih baik apabila beberapa permohonan berkaitan bekalan air dan kemudahan komuniti diluluskan hasil siri lawatan kerja Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.

Dalam kesinambungan siri lawatan kerja ke rumah-rumah panjang, beliau turun padang menemui penduduk bagi mendengar sendiri keperluan dan permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat setempat.

Hari ketiga lawatan pada semalam menyaksikan kebanyakan permohonan yang diterima tertumpu kepada penyediaan tangki air bagi memenuhi keperluan asas penduduk serta pembinaan dan pembaikan rumah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Keadaan tersebut mencerminkan keutamaan masyarakat setempat terhadap kemudahan komuniti yang lebih selesa dan akses bekalan air yang mencukupi demi meningkatkan kesejahteraan hidup mereka.

Beliau telah meluluskan permohonan penduduk untuk mendapatkan tangki air bagi menangani masalah bekalan air yang dihadapi di beberapa kawasan rumah panjang.

“Bekalan air yang bersih dan mencukupi adalah keperluan asas yang tidak boleh dipandang ringan. Apabila penduduk membangkitkan isu ini, kita perlu bertindak segera,” katanya yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok ketika dihubungi, hari ini.

DATO’ Sri Huang Tiong Sii bergambar bersama penduduk rumah panjang. Foto Pusat Khidmat Parlimen Sarikei

Selain isu bekalan air, pembinaan Rumah JKKK turut diluluskan semasa lawatan berkenaan bagi memperkukuhkan pengurusan dan pentadbiran komuniti di rumah panjang.

Katanya, rumah JKKK bukan sekadar sebuah bangunan, sebaliknya berfungsi sebagai pusat komuniti yang menjadi nadi kepada pelaksanaan pelbagai aktiviti dan urusan pentadbiran masyarakat setempat.

“Kita mahu setiap komuniti mempunyai ruang yang sesuai untuk merancang dan bekerjasama demi kemajuan bersama.

“Rumah JKKK adalah bagi memastikan setiap JKKK mempunyai tempat yang selesa untuk bermesyuarat dan merancang aktiviti sesuai untuk penduduk di rumah panjang,” katanya.

Tambahnya, setiap lawatan yang dilakukan bukan sekadar untuk melihat keadaan fizikal kawasan, sebaliknya bertujuan memahami keperluan sebenar penduduk supaya bantuan dan projek yang dilaksanakan dapat memberi impak yang lebih bermakna.

“Hanya dengan memahami keperluan sebenar mereka, bantuan yang diberikan dapat memberi impak yang bermakna. Saya tidak mahu hanya membuat keputusan dari atas meja. Dengan turun padang sendiri, saya dapat melihat, mendengar, dan bertindak balas dengan lebih tepat dan berkesan,” katanya.

Katanya, pendekatan tersebut akan terus dilaksanakan bagi memastikan setiap isu yang dihadapi rakyat dapat dikenal pasti serta diberikan perhatian sewajarnya.

“Lawatan ke rumah panjang di Meradong telah dijalankan secara berterusan sejak saya dipilih sebagai Ahli Parlimen Sarikei. Terima kasih kepada rakyat di kawasan Sarikei dan Meradong yang memilih saya sebagai wakil rakyat bagi mewakili mereka di peringkat Parlimen,” katanya lagi.

Antara kawasan yang dilawati dalam siri lawatan tersebut ialah Sungai Mador, Ulu Binatang, Jalan KJD, Sungai Baron, Sungai Kesa dan Sungai Juah.

Oleh Earl Anek

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Empat program pemvaksinan haiwan dirancang di Tatau tahun ini
Next: Lelaki OKU dilaporkan hilang di Kota Samarahan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.