KUCHING: Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) mengukuhkan tahap kesiapsiagaan menghadapi bencana udara melalui satu latihan kecemasan besar-besaran di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KCH) di sini, malam tadi.
Menurut Pengurus Kanan Lapangan Terbang KCH, Jun Iskandar, latihan kecemasan yang diberi kod nama ‘Ex Buceros Shield,’ menyaksikan senario simulasi nahas pesawat di kawasan lapangan terbang melibatkan lebih 600 anggota dari 34 agensi kerajaan dan swasta.
Katanya, antara agensi yang terlibat termasuk Kementerian Pengangkutan Sarawak, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Biro Penyiasatan Kemalangan Udara, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan syarikat-syarikat penerbangan.
“Bencana udara boleh berlaku pada bila-bila masa, menjadikan kesiapsiagaan lapangan terbang dan pihak berkepentingan amat penting untuk terus mempertingkatkan protokol keselamatan.
“Latihan berskala penuh ini mensimulasikan kemungkinan bencana udara bagi meningkatkan koordinasi, kemahiran, dan kecekapan sejajar dengan Pelan Kecemasan Aerodrom (AEP),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas latihan kecemasan berkenaan di KCH, malam tadi.
Dalam pada itu, Jun turut menekankan bahawa komunikasi yang berkesan dan kerjasama strategik antara semua peserta adalah kunci dalam memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi krisis dan menangani ancaman keselamatan.
Katanya, lapangan terbang di Malaysia dikategorikan sebagai kawasan terhad dengan beberapa kemudahan dikelaskan sebagai ‘National Vital Installation Priority 1’, yang menunjukkan ancaman tertinggi kepada keselamatan negara dan operasi kerajaan jika kawasan tersebut terjejas.
“Memandangkan kepentingan kritikal ini, AEP menetapkan prosedur dan protokol komprehensif untuk menguruskan kecemasan dengan berkesan, memastikan tindak balas pantas, terkoordinasi, dan cekap demi melindungi kepentingan negara dan keselamatan awam,” katanya.
Oleh Mohd Neenatul Aizal