KUCHING, 9 Oktober: Larian Denai Alam Semula Jadi Antarabangsa Santubong 2026 kembali untuk edisi kelima pada 15 November ini, dengan menawarkan empat kategori laluan bagi menarik penyertaan pelari denai, pencinta alam dan peminat aktiviti luar dari dalam serta luar negara.
Dianjurkan oleh Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), acara itu akan berlangsung dengan latar belakang Taman Negara Santubong, sekali gus menggabungkan aktiviti sukan, penerokaan alam semula jadi dan penghayatan warisan sejarah kawasan berkenaan.
Menurut SFC, edisi terdahulu menerima penyertaan dari lebih sembilan negara, mencerminkan daya tarikan acara itu dalam kalangan komuniti larian denai tempatan dan antarabangsa.
Selain mencabar ketahanan fizikal peserta, laluan acara itu turut membawa mereka menghampiri Pusat Wallace di Kampung Santubong, lokasi yang dikaitkan dengan ahli alam semula jadi British, Alfred Russel Wallace, yang terkenal menerusi sumbangannya terhadap perkembangan teori evolusi melalui pemilihan semula jadi.
Empat kategori disediakan bagi memenuhi tahap kecergasan dan pengalaman peserta yang berbeza, iaitu cabaran larian denai 21 kilometer (km), larian denai jarak sederhana 10 km serta pendakian santai masing-masing sejauh tiga dan lima km.
Kategori 21 km menawarkan cabaran lebih mencabar menerusi laluan denai teknikal, litupan hutan dipterokarpa dan cerun pesisir, manakala laluan 10 km memberi peluang kepada peserta meneroka keindahan alam semula jadi Santubong pada jarak sederhana.
Bagi mereka yang baharu berjinak-jinak dengan aktiviti luar atau mahu menikmati pengalaman meneroka hutan hujan, kategori pendakian santai tiga dan lima km turut disediakan.
SFC turut menegaskan komitmennya terhadap pemuliharaan alam sekitar menerusi pelaksanaan prinsip ‘Jangan Tinggalkan Kesan’ dengan menggalakkan pengurusan acara secara lestari, perlindungan flora dan fauna serta amalan bertanggungjawab ketika menggunakan laluan denai.
Penganjuran edisi tahun ini turut mendapat kerjasama Dewan Bandaraya Kuching Selatan (DBKU) bagi menyokong pelaksanaan acara dan penglibatan komuniti setempat.
Pendaftaran akan ditutup pada 15 Oktober ini atau lebih awal sekiranya semua slot penyertaan telah dipenuhi.
Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut, termasuk peta laluan dan butiran penyertaan, menerusi laman sesawang rasmi www.santubongtrail.com.





