KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata orang ramai berhak membuat aduan kepada KPDNHEP terhadap mana-mana kedai gunting dan pendandan rambut serta salun kecantikan yang mengenakan caj berlebihan yang tidak munasabah.
Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi menegaskan kes boleh disiasat di bawah Seksyen 14, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP).
Menurutnya aduan boleh dibuat melalui portal e-aduan di https://eaduan.kpdnhepp.gov.my, melalui call centre di 1 800 886 800, email e-aduan@kpdnhep.gov.my, aplikasi telefon pintar ez Aduan KPDNHEP, Enforcement Command Centre di talian 03 – 8882 6088/6245, melalui whatsapp di 019- 2794317 atau membuat aduan di mana-mana Bilik Gerakan KPDNHEP Negeri.
“Walaubagaimanapun, KPDNHEP memahami keadaan semasa dengan setiap pihak masih cuba menyesuaikan diri dengan norma baharu akibat pandemik Covid-19,
“Pihak Kementerian bersedia mengadakan perbincangan dengan pemain industri bagi mengambil maklum balas dan mencari jalan penyelesaian ‘win-win’ bagi kedua-dua pihak,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Alexander menegaskan anggota Penguatkuasa KPDNHEP akan membuat pemeriksaan terhadap premis- premis gunting rambut, salon kecantikan dan lain-lain bagi memastikan tidak ada peniaga mengambil kesempatan yang membebankan pengguna.
Jelasnya lagi orang ramai boleh merujuk Soalan Lazim dan SOP berkenaan Perkhidmatan Gunting Rambut, Pendandan Rambut dan Salun Kecantikan di portal rasmi KPDNHEP di www.kpdnhep.gov.my atau di akaun rasmi KPDNHEP fb, Instagram dan Twitter di @mykpdnhep.
Oleh Diyana Samsuddin