KUCHING, 9 Oktober: Warisan tapak UNESCO, sejarah industri petroleum dan kepelbagaian budaya Sarawak dicadang diketengahkan dalam reka bentuk dalaman projek naik taraf bangunan terminal Lapangan Terbang Miri.
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, elemen Taman Negara Gunung Mulu, Taman Negara Niah dan telaga minyak pertama Miri yang dikenali sebagai Grand Old Lady wajar diterapkan bagi mencerminkan keunikan sejarah serta tarikan semula jadi bandar raya berkenaan.
Menurut beliau, Lapangan Terbang Miri bukan sekadar menjadi pintu masuk ke kawasan tanah tinggi dan pedalaman Sarawak Utara, malah berpotensi memperkenalkan identiti negeri ini kepada pengunjung dari dalam dan luar negara.
“Lapangan terbang kita bukan sekadar tempat penumpang tiba dan berlepas. Ia juga perlu menjadi tempat pengunjung mengenali keistimewaan Miri dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri taklimat oleh pasukan projek Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia di pejabat Kementerian Pengangkutan (MOTS), Bangunan Baitulmakmur, di sini, hari ini.
Dalam taklimat itu, pasukan projek membentangkan tema reka bentuk “Pintu Gerbang ke Tanah Tinggi” yang diinspirasikan daripada budaya etnik Sarawak, khususnya warisan, kemahiran pertukangan tradisional dan unsur seni masyarakat Orang Ulu.
Lee menyambut baik konsep berkenaan, namun mencadangkan supaya reka bentuk itu turut mengetengahkan warisan semula jadi dan sejarah Miri, termasuk Taman Negara Gunung Mulu dan Taman Negara Niah yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Beliau turut mencadangkan penerapan elemen Grand Old Lady yang melambangkan sejarah awal Miri sebagai tempat bermulanya industri petroleum Malaysia.
Selain itu, beliau menggalakkan penerapan unsur budaya masyarakat etnik Sarawak yang lain bagi memastikan reka bentuk terminal berkenaan mencerminkan perpaduan dalam kepelbagaian.
Beliau berharap Kementerian Pengangkutan Persekutuan dan JKR Malaysia memastikan pasukan pereka dalaman yang dilantik kelak mengadakan lawatan ke Lapangan Terbang Miri serta lokasi berkaitan di Sarawak.
Katanya, pereka perlu memahami sendiri persekitaran lapangan terbang, masyarakat setempat dan warisan budaya sebelum menghasilkan reka bentuk yang tulen serta benar-benar mencerminkan identiti Miri dan Sarawak.
Program selama tiga hari dari 7 Oktober hingga hari ini itu turut merangkumi sesi libat urus bersama persatuan kebudayaan tempatan, penggiat seni dan tukang kraf di Miri, selain lawatan kajian ke Kampung Budaya Sarawak dan Muzium Budaya Borneo di Kuching.
Lee merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pengangkutan Persekutuan, JKR Malaysia, Malaysia Airports, persatuan kebudayaan, penggiat seni, tukang kraf serta semua pihak yang memberikan kerjasama dalam menjayakan program berkenaan.





