KUCHING: Sebanyak lapan jalan utama akan ditutup sementara bagi memberi laluan kepada sekitar 3,000 peserta dalam Larian Baton sempena Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para Sukma XXI Sarawak 2024, Ahad ini.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ahsmon Bajah berkata, acara utama yang bakal berlangsung di Tebingan Kuching seawal 5.30 pagi itu akan turut menjangkakan kehadiran Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut Ashmon, penutupan jalan itu membabitkan Jalan Main Bazaar, Jalan Tun Abang Haji Openg, Jalan Haji Taha Jalan Gambir, Jalan Mcdougall Jalan Tun Abang Haji Openg, persimpangan lampu isyarat RTM ke Jalan Barrack, Jalan Padungan Tunku Abdul Rahman, Jalan Temple Jalan Main Bazaar, Jalan Bukit Mata dan Jalan Gambir.
Penutupan lapan laluan tersebut, jelasnya, dilakukan secara berperingkat dari 6.00 pagi hingga 8.15 pagi.
Sehubungan itu, Ahsmon menggesa pengguna jalan raya agar menggunakan laluan alternative sepanjang berlangsungnya acara larian berkenaan.
Katanya lagi, pengguna jalan raya melalui Jalan Tabuan dari Jalan Simpang Tiga dicadangkan untuk menggunakan Jalan Central Timur atau Jalan Ban Hock bagi mengelak kesesakan sempena penutupan lampu isyarat di Jalan McDougalls.
Sementara itu, pengguna jalan dari Jalan Haji Taha dinasihatkan supaya membuat pusingan U di bulatan Masjid bagi mengelakkan kesesakan ketika penutupan Jalan Gambir.
Pengguna jalan raya dari Jalan Pending pula, dinasihatkan membuat pusingan U di bulatan Sri Aman bagi mengelakkan kesesakan di Jalan Padungan.
Pada masa sama, Ashmon turut mengingatkan orang ramai supaya tidak meletakkan kenderaan di sepanjang laluan Baton larian berganti-ganti dan merancang perjalanan masing-masing terlebih dahulu untuk mengelak sebarang kesulitan pada hari berkenaan.
Sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai adalah digalakkan untuk menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kuching di talian 082-259900.
Oleh Connie Chieng