KUCHING: Polis menahan lapan individu yang disyaki terlibat dalam sindiket penipuan cinta (love scam) secara dalam talian yang menyasarkan mangsa dari luar negara.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata, kesemua suspek terdiri daripada tiga warga tempatan iaitu dua lelaki dan seorang wanita serta lima lelaki bukan warganegara berusia antara 21 hingga 26 tahun.
Beliau berkata, kesemua suspek ditahan dalam serbuan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJKD) IPD Kuching di sebuah apartmen di Jalan Song kira-kira 11.00 malam, semalam.

“Polis turut merampas komputer riba, telefon bimbit serta beberapa peranti yang dipercayai digunakan bagi menjalankan aktiviti pusat panggilan penipuan ‘love scam’ secara dalam talian,” katanya hari ini.
Menurut Alexson, semakan dan analisis awal mendapati sindiket berkenaan beroperasi sebagai pusat panggilan yang menjalankan aktiviti penipuan tidak wujud secara dalam talian dengan menyasarkan mangsa dari luar negara.
“Kesemua individu yang ditahan dipercayai bekerja sepenuh masa dalam aktiviti tersebut,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan dengan cara tidak jujur mendorong penyerahan harta, yang membawa hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 120B Kanun Keseksaan berkaitan pakatjahat jenayah, yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan, atau denda, atau kedua-duanya.
Kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching hari ini untuk mendapatkan perintah reman dan mahkamah membenarkan reman selama empat hari.
Alexson turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah dan bekerjasama dengan pihak polis dalam usaha mencegah jenayah.
Maklumat boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran atau Pusat Kawalan Daerah Kuching di talian 082-244444.
Oleh Connie Chieng





