KUCHING: Kementerian Pendidikan (KPM) disarankan untuk melantik mana-mana bank komersial sebagai pihak yang menyalurkan bantuan awal persekolahan kepada murid sekolah di seluruh negara.
Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS), Zulkiflee Sebli (gambar) berkata, bantuan yang diberikan setiap tahun kepada murid sekolah telah menjadi bebanan kepada pihak sekolah terutama guru untuk menyalurkannya kepada murid.
“KGBS bersyukur atas bantuan yang diberikan kerajaan tetapi kami agak terkilan kerana pihak sekolah dan guru dibebankan dengan tanggungjawab dan risiko dalam menyalurkan bantuan ini.
“Dengan jumlah wang tunai yang besar hingga beratus ribu, guru berdepan risiko keselamatan apabila berurusan dengan pihak bank dan juga sewaktu mengagihkan bantuan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, jumlah wang yang begitu besar juga mendedahkan sekolah kepada bahaya dan risiko keselamatan.
“Jumlah wang tunai yang banyak terpaksa disimpan di dalam peti besi sekolah akan menambah risiko sekolah dipecah masuk dan juga samun.
“Kita tidak mahu kes yang berlaku baru-baru ini yang menyebabkan wang tunai lebih RM100,000 lesap di dalam kereta seorang guru besar berlaku lagi.
“Walaupun ada garis panduan (SOP) pengeluaran yang diberi oleh KPM, ia tetap memberi risiko tinggi kepada guru. Justeru, kita berharap dengan melantik bank-bank komersial ini, bantuan tunai dapat diagihkan terus melalui akaun bank ibu bapa atau penjaga murid-murid,” katanya.
Zulkiflee berkata, cadangan itu sekali gus dapat mengurangkan risiko wang dirompak selain mengurangkan bebanan tugas guru.
Dalam kejadian 10 pagi semalam, seorang guru besar berputih mata selepas wang bantuan awal persekolahan berjumlah RM109,000 yang diperuntukkan untuk sebuah sekolah di Beranang, Selangor hilang selepas dilarikan individu yang memecah tingkap kenderaannya di Semenyih.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berdasarkan keterangan guru besar terbabit, mangsa yang berpengalaman 10 tahun mengendalikan transaksi pengeluaran wang tidak membuat sebarang permohonan polis pengiring kerana sudah biasa melakukan sebegitu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pula berkata, terdapat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) kewangan sewaktu pengeluaran wang bantuan awal persekolahan berjumlah lebih RM100,000 itu.
Menurut tatacara pengeluaran wang tunai yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan, pengeluaran wang tunai hingga RM10,000 oleh pengetua atau guru besar hendaklah diiringi dua guru atau mendapatkan perkhidmatan pengiring daripada polis jika mengeluarkan wang tunai melebihi RM10,000
Oleh RYNNA SHA’ERRA