BINTULU, 6 Oktober: Tindakan segera perlu diambil bagi memastikan kesesakan trafik teruk di laluan Jepak-Lapangan Terbang Bintulu tidak berulang, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming.
Beliau berkata kesesakan yang berlaku malam tadi berpunca daripada kemalangan ketika kerja penurapan jalan sedang dijalankan di laluan berkenaan.
Katanya, kerja penurapan tersebut menyebabkan sebahagian laluan perlu digunakan secara dua hala berikutan ruang jalan yang terhad, sekali gus menjejaskan aliran trafik di kedua-dua arah apabila berlaku kemalangan.
“Fokus mesyuarat ini bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak, tetapi mencari penyelesaian.
“Sekarang kita sudah mengenal pasti risiko trafik yang mungkin berlaku sepanjang tempoh pembinaan dan tidak boleh menunggu sehingga berlaku kesesakan besar sekali lagi sebelum mengambil tindakan,” katanya dalam satu kenyataan.
Susulan kejadian itu, Johnny Pang meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) mengadakan mesyuarat penyelarasan melibatkan kontraktor kerja jalan, polis dan Sarawak Energy bagi meneliti kejadian berkenaan serta mengenal pasti langkah lebih berkesan untuk menangani situasi kecemasan pada masa hadapan.
Antara langkah yang perlu diberi perhatian, katanya, ialah memperkemas pengurusan trafik di tapak, mempercepatkan komunikasi antara agensi berkaitan serta mendapatkan bantuan polis trafik dengan segera apabila diperlukan.
Johnny Pang berkata kerja jalan akan diteruskan, namun gangguan terhadap pengguna perlu diminimumkan, khususnya kerana laluan berkenaan merupakan laluan penting ke dan dari Lapangan Terbang Bintulu.
Beliau turut menghargai orang awam yang menyalurkan maklumat berhubung kesesakan berkenaan dan memaklumkan bahawa beliau bersama pasukannya akan terus membuat susulan terhadap perkara itu.
Oleh Carolyne Utih




