KUCHING: Lampu solar, tiang besi dan beberapa peralatan trafik seperti papan tanda penunjuk arah dan lampu berkelip penunjuk arah di Lebuh Raya Pan Borneo, dicuri.
Berikutan itu, dua laporan polis dibuat oleh pasukan trafik lebuh raya itu bagi mewakili kontraktor yang terbabit dengan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, Seksyen Bau WPC02.
Menurut Unit Lebuhraya Pan Borneo JKR Sarawak, laporan polis itu dibuat apabila beberapa peralatan trafik didapati hilang dari lokasi yang telah ditetapkan bagi panduan arah trafik sementara kerja-kerja pembinaan masih lagi giat dijalankan.
“Untuk laporan (polis) pertama, pihak kontraktor mendapati lampu solar dan tiang besi yang diletakkan di laluan Bau-Batu Kawa (CH 79+000) telah hilang dari lokasi yang ditetapkan bagi menerangi lencongan yang dilakukan oleh pihak kontraktor.
“Laporan kedua berkaitan dengan kehilangan 60 set blinker (lampu berkelip penunjuk arah) dan 17 batang besi papan tanda sementara dari Kampung Sibuluh Bau (CH75 + 000) sehingga ke Batang Kayan Hulu (CH48 + 000),” katanya di laman sesawang JKR Sarawak.
Kenyataan itu mengingatkan pihak yang tidak bertanggungjawab untuk tidak melakukan sebarang vandalisme atau mengambil peralatan trafik yang telah disediakan kerana ia boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.
“Mana-mana pihak yang menyaksikan sebarang kelakuan vandalisme atau jenayah ke atas peralatan trafik yang telah disediakan demi keselamatan pengguna dipelawa melaporkan salah laku itu kepada pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu.