

MIRI: Ketika pelbagai sayuran moden membanjiri pasaran, lamiding tetap mempertahankan tempat istimewanya di hati masyarakat Sarawak.
Tumbuh liar di kawasan hutan dan tanah lembap, sayur paku pakis ini terus menjadi pilihan ramai kerana keenakan rasanya yang sukar ditandingi.
Pucuk mudanya yang lembut biasanya dimasak secara ringkas, sama ada digoreng bersama belacan, bawang putih atau dibuat umai bagi mengekalkan rasa asli dan teksturnya yang rangup.
Sejak dahulu, sayur ini menjadi hidangan tradisi di rumah panjang, kampung dan bandar, merentasi pelbagai kaum serta generasi.


Selain menjadi kegemaran penduduk tempatan, lamiding tetap mendapat perhatian pelancong yang berkunjung ke Sarawak.
Ramai menganggap hidangan berasaskan lamiding sebagai menu wajib dicuba kerana ia sukar ditemui di tempat lain.
Kaya dengan serat dan nutrien, lamiding bukan sekadar pelengkap hidangan, malah menjadi simbol kekayaan biodiversiti serta warisan makanan unik yang dimiliki Sarawak.
Di kebanyakan tamu di Sarawak, terutama ketika musim lamiding , sayur hutan itu lazimnya dijual pada harga sekitar RM3 hingga RM5 seikat atau sepinggan, manakala bagi pembelian secara pukal, harga boleh mencecah sekitar RM30 sekilogram, bergantung pada gred, bekalan dan musim.
Permintaan yang tinggi daripada penduduk tempatan serta pengusaha restoran menjadikan lamiding antara hasil hutan yang sentiasa mendapat sambutan.
Oleh Liong Chai Ling