KUCHING: Laluan alternatif telah disediakan di kawasan The Northbank susulan penutupan sementara jalan di kawasan itu bagi memberi laluan kepada pembinaan stesen Transit Aliran Automasi (ART).
Menurut satu kenyataan Sarawak Metro, penutupan jalan tersebut diperlukan untuk pembinaan Stesen SM07, yang terletak berhampiran pangsapuri Avona Residence di The Northbank.
Katanya, penutupan ini dijangka kekal sehingga pembinaan stesen selesai.
“Stesen ART di The Northbank ini merupakan sebahagian daripada pembangunan Pakej Laluan Biru 1 di bawah projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).
“Menurut kontraktor pakej tersebut, sebuah syarikat usaha sama antara Ibraco Construction Sdn Bhd dan China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd (ICJV), mereka baru-baru ini telah mengadakan pertemuan dengan beberapa penduduk yang terjejas.
“Antara yang hadir termasuklah pengusaha perniagaan di deretan kedai berhampiran serta penghuni Avona Residence.
“Dalam pertemuan itu, penduduk dimaklumkan mengenai keperluan penutupan jalan dan laluan alternatif yang disediakan untuk memudahkan pergerakan mereka,” katanya.
Sarawak Metro bersama kontraktor pakej laluan biru menegaskan komitmen mereka untuk meminimumkan gangguan lalu lintas sepanjang tempoh pembinaan stesen dan laluan khas ART.
Pada masa sama, Sarawak Metro akan terus berkomunikasi dengan penduduk terjejas untuk memastikan mereka sentiasa dikemas kini mengenai perkembangan projek KUTS di kawasan tersebut.
Dalam pada itu, Laluan Biru dalam projek KUTS menghubungkan Rembus di Kota Samarahan ke Hikmah Exchange di pusat bandar Kuching.
“Ia dibahagikan kepada dua pakej pembangunan. Pakej satu melibatkan pembinaan dan penyempurnaan infrastruktur dari Rembus ke Stutong.
“Bagi pakej dua pula, ia melibatkan pembinaan dan penyempurnaan infrastruktur dari Stutong ke Hikmah Exchange, yang dianugerahkan kepada syarikat usaha sama antara Perbena Emas Sdn Bhd dan China Road & Bridge Corporation,” katanya.
Tambah Sarawak Metro, selain membina laluan khas dan stesen untuk projek KUTS, skop kerja kedua-dua pakej ini turut merangkumi pelebaran jalan serta penambahbaikan infrastruktur lain yang penting.