Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) telah mencapai impiannya untuk memiliki identiti tersendiri menerusi pengenalan bendera dan panji-panji rasmi lembaga itu, semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif LAKMNS, Datuk Abang Wahap Abang Julai, berkata bendera dan panji-panji tersebut akan digunakan semasa acara rasmi lembaga tersebut pada masa akan datang.
“Hasrat utama penciptaan serta pengenalan bendera dan panji-panji ini adalah untuk melambangkan identiti LAKMNS di mata umum.
“Pelancaran ini juga adalah simbolik kepada kekuatan dan kesediaan kita untuk memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada masyarakat.
“Selain itu, bendera dan panji-panji ini juga turut akan menyumbang kepada pengiktirafan LAKMNS sebagai lembaga Islam bertaraf dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Pelancaran Bendera dan Panji-panji Rasmi LAKMNS di Masjid Jamek, di sini, semalam.
Menurutnya, setiap perincian yang diabadikan dalam bendera tersebut membawa seribu satu makna yang signifikan dengan LAKMNS, agama Islam dan negara.
Sementara itu, Abdul Wahap turut menzahirkan rasa gembira dan bangga kerana pelancaran bendara dan panji-panji ini diadakan bersempena dengan sambutan Hari Polis Diraja Malaysia ke-214.
“Pengorbanan anggota polis bantuan tiada bezanya dengan PDRM kerana mereka juga memikul tanggungjawab penting, terutama untuk menjaga keselamatan aset dan pengguna di lokasi aset LAKMNS.
“Oleh sebab itu, saya sangat bersyukur dan ingin mengucapkan terima kasih atas pengorbanan dan tanggungjawab yang telah digalas selama ini.
“Saya juga berharap agar anggota kita ini akan terus memiliki semangat yang tinggi, akal yang bijak dan iman yang kuat untuk melaksanakan tugas dengan cemerlang,” jelasnya lagi.
Sebelumnya, Abdul Wahap berkesempatan memeriksa perbarisan 30 anggota polis bantuan yang diketuai oleh Sarjan Mejar Ahmad Tomizi Othaman.
Majlis dimulakan dengan perarakan bendera dna panji-panji rasmi LAKMNS, dan kemudiannya diserahkan kepada Sarjan Mejar Bahron Judin untuk dinaikkan di tiang bendera.
Turut hadir dalam majlis pelancaran itu adalah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LAKMNS, Mohamad Feisal Said.