TERIMA KASIH PREMIER… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menandatangani karya seni seorang
guru dan murid Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak Petra Jaya, pada majlis ‘Detik Kenangan
Bersama Premier’ semalam.
KUCHING: Langkah kerajaan Sarawak menubuhkan lima sekolah antarabangsa di negeri ini adalah untuk melahir pelajar mahir dan berkelayakan untuk bersaing dalam pasaran kerja global.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pelajar perlu dilengkapi kemahiran tinggi dan pada masa sama, berkebolehan dalam bahasa Inggeris.
“Sebab itu kerajaan Sarawak memutuskan untuk kita mempunyai sekolah antarabangsa sendiri bagi melahirkan pelajar antarabangsa… bukan jaguh kampung tapi jaguh dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap selepas ‘Fun Ride’ dan majlis ‘Detik Kenangan Bersama Premier’ di Sekolah Antarabangsa Yayasan Sarawak di Petra Jaya semalam.
Abang Johari berkata, lima Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak iaitu di Petra Jaya, Semenggoh, Sibu, Miri dan Bintulu.
Sekolah di Petra Jaya adalah yang pertama memulakan operasi pada Mei lalu.
Beliau berharap Sekolah Menengah Antarabangsa di bawah Yayasan Sarawak itu juga mampu melahirkan pelajar memiliki penguasaan bahasa Inggeris yang baik dan diperlukan pada peringkat antarabangsa.
Katanya, pendidikan sentiasa diberi penekanan di bawah kepemimpinannya bagi melahirkan rakyat Sarawak yang bijak serta berkhidmat untuk negara pada masa depan.
“Jika mereka (pelajar) adalah juara dunia, mereka memasuki universiti terkemuka, apabila mereka pulang mereka boleh membantu mengubah ekonomi kita.
“Anda kini mempunyai saluran untuk meneruskan pengajian, anda boleh membangunkan Sarawak seperti Korea Selatan sebagai negara yang membangun pada masa hadapan,” katanya.
Premier Sarawak itu berkata bagi kemasukan, pelajar dari kumpulan B40 ditawarkan biasiswa penuh, manakala pelajar dari kumpulan M40 dan T20 membayar yuran bulanan pada kadar minimum.
Beliau berkata kerajaan Sarawak juga telah memperoleh aset dalam sektor pendidikan seperti menerusi Universiti Curtin, Swinburne University dan Centre of Technical Excellence (CENTEXS).
Oleh SHAHRUL QAIZAT / MOHD NEENATUL AIZAL