KUCHING: Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) dibangunkan berasaskan model kewangan mampan yang tidak bergantung kepada kutipan tambang semata-mata, sebaliknya diperkukuh menerusi pelbagai sumber pendapatan komersial bagi menjamin kelangsungan operasinya pada masa hadapan.
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pendekatan itu diterjemahkan melalui pengenalan Program Hak Penamaan Stesen oleh Sarawak Metro yang membuka peluang kerjasama strategik dengan sektor swasta, sekali gus mewujudkan sumber pendapatan baharu untuk menyokong operasi sistem pengangkutan awam berkenaan.
Beliau berkata, sistem pengangkutan awam moden tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada hasil kutipan tambang penumpang kerana kemampanan kewangan perlu diperkukuh menerusi model perniagaan yang lebih menyeluruh.
“Kerjasama komersial strategik seperti pembangunan berorientasikan transit (TOD), hak penamaan stesen, pengiklanan dan peluang peruncitan mampu mempelbagaikan sumber pendapatan, sekali gus membolehkan organisasi terus meningkatkan mutu perkhidmatan.
“Sebagai syarikat milik kerajaan negeri, Sarawak Metro bukan sahaja memberi tumpuan kepada penyediaan infrastruktur, malah turut meneroka peluang penjanaan hasil yang inovatif bagi memperkukuh kemampanan jangka panjang KUTS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Hak Penamaan Stesen SM07 The Northbank Ibraco ART yang disaksikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di sini hari ini.
Menurut Lee, inisiatif berkenaan mencerminkan perancangan perniagaan yang berpandangan jauh dengan mengadaptasi amalan terbaik antarabangsa yang telah berjaya dilaksanakan di bandar-bandar utama dunia.
Katanya, projek KUTS juga terus mencatat kemajuan memberangsangkan apabila kerja-kerja pembinaan kini giat dijalankan melibatkan jajaran laluan, stesen, depot serta sistem sokongan sebelum beralih kepada fasa integrasi sistem dan kesiapsiagaan operasi.
Beliau berkata, pembangunan Loji Pengeluaran Hidrogen Fasa 1 di Depot Rembus turut berjalan lancar dan bakal menjadi komponen penting dalam ekosistem KUTS.
“Apabila beroperasi kelak, loji ini mampu menghasilkan sehingga satu tan hidrogen hijau sehari bagi menyokong operasi perintis serta permulaan perkhidmatan Autonomous Rapid Transit (ART), sekali gus mencerminkan komitmen Sarawak terhadap mobiliti hijau dan lestari,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata ketibaan serta pemasangan dua kenderaan ART pertama di Kuching baru-baru ini turut menandakan satu lagi pencapaian penting ke arah pelaksanaan operasi KUTS.
Menurutnya, keutamaan kini adalah memastikan semua aspek termasuk infrastruktur, sistem, kenderaan dan pengaturan operasi berada pada tahap kesiapsiagaan terbaik bagi membolehkan perkhidmatan yang selamat, cekap dan boleh dipercayai disediakan kepada rakyat.
Mengulas mengenai majlis tersebut, Lee mengucapkan tahniah kepada IBRACO Berhad kerana menjadi rakan strategik pertama di bawah Program Hak Penamaan Stesen.
Beliau berkata, keyakinan syarikat itu terhadap KUTS membuktikan sektor swasta turut percaya akan potensi jangka panjang sistem pengangkutan awam Sarawak, selain berharap lebih banyak syarikat, institusi dan perniagaan tempatan tampil menjalin kerjasama dengan Sarawak Metro pada masa akan datang.
“Kerjasama ini merupakan permulaan kepada lebih banyak kolaborasi yang akan menyumbang ke arah aspirasi Sarawak menjadi wilayah yang pintar, hijau dan berdaya tahan dari segi ekonomi,” katanya.



