KUCHING, 13 November: Kerajaan Sarawak akan meneliti kemungkinan menawarkan potongan harga tiket penerbangan AirBorneo bagi membantu rakyat Sarawak yang berada di luar negeri pulang menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-13.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sebarang bentuk tawaran khas perlu diteliti dengan berhati-hati bagi mengelakkan ia disalah tafsir sebagai pemberian insentif yang mempunyai unsur rasuah.
Menurutnya, kerajaan perlu mengambil kira persepsi serta tafsiran terhadap pemberian diskaun berkenaan, terutama dalam suasana pilihan raya yang sensitif.
“Kita lihat dahulu perkara itu, selagi ia tidak menjurus kepada rasuah.
“Jika kita memberikan diskaun khas, orang mungkin mentafsirkannya sebagai satu bentuk insentif tertentu. Kita perlu melihat definisinya terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis pelepasan penerbangan sulung AirBorneo bagi laluan Kuching-Jakarta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, kos penerbangan yang lazimnya meningkat pada Disember juga perlu dipertimbangkan, terutama bagi rakyat Sarawak yang bekerja atau menetap di Semenanjung Malaysia dan ingin pulang mengundi.
Bagaimanapun, katanya, AirBorneo menyediakan pilihan penerbangan dengan tambang sekitar RM300 lebih bagi laluan tertentu, sekali gus membolehkan penumpang pulang tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada penerbangan syarikat lain yang mungkin mengenakan tambang lebih tinggi ketika musim puncak.
“Kita perlu berhati-hati kerana nanti ada pihak yang akan memutarbelitkan perkara ini. Sekarang ini macam-macam perkara boleh diputarbelitkan,” katanya.
Sebelum ini, AirBorneo memperkenalkan tambang sehala RM375 termasuk semua caj bagi laluan Kuching-Kuala Lumpur menerusi tawaran ‘Sarawakku Sayang’ bagi kelas Ekonomi.
Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Aminuddin sebelum ini menjelaskan tambang RM375 itu ditetapkan berdasarkan analisis harga pasaran bagi membantu menstabilkan kos perjalanan udara, khususnya bagi rakyat Sarawak yang kerap menggunakan laluan berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, pengasas pertubuhan bukan kerajaan Bantu Sarawak, Jeffery Ngui Voon Chiang pada 4 November lalu mencadangkan AirBorneo memperkenalkan pakej khas ‘Balik Mengundi’ dengan tambang sehala bermula RM99 bagi laluan terpilih, tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk.
Cadangan itu dikemukakan bagi membantu rakyat Sarawak yang menetap di luar negeri, khususnya di Semenanjung Malaysia, pulang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada PRN ke-13.
Oleh Shahrul Qaizat




