MIRI, 13 November: Generasi muda perlu memahami sejarah pembentukan Malaysia serta kepentingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi memastikan hak dan kepentingan Sarawak terus dihormati dalam Persekutuan Malaysia.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, MA63 bukan sekadar dokumen sejarah yang ditandatangani lebih enam dekad lalu, sebaliknya menjadi asas kepada hubungan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Sarawak dan Sabah.
Beliau berkata, pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 adalah hasil rundingan dan persetujuan antara Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara (Sabah), Sarawak, Singapura serta United Kingdom.
Menurutnya, perjanjian itu bersama Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan peruntukan perlembagaan yang menyusul telah menetapkan beberapa perlindungan serta peruntukan khas bagi mengiktiraf kedudukan dan keadaan berbeza Sarawak dan Sabah.
“MA63 perlu difahami bukan sekadar sebagai dokumen sejarah, tetapi sebagai asas perkongsian dalam Persekutuan serta prinsip yang terus membentuk hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Sarawak dan Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Kenegaraan Aku Kasih Malaysia bertemakan ‘MA63: Memahami Sejarah, Menghayati Hak dan Memperkukuh Persekutuan Malaysia’ di Universiti Curtin Malaysia, di sini, hari ini.
Dr Sim berkata, usaha Sarawak memperjuangkan hak dan kepentingannya tidak seharusnya dilihat bercanggah dengan perpaduan nasional, sebaliknya mampu membentuk sebuah persekutuan yang lebih kukuh dan adil.
Katanya, kerajaan Sarawak kekal komited memperjuangkan hak negeri melalui pendekatan perbincangan, rundingan serta proses perlembagaan dan institusi yang sewajarnya.
Beliau berkata, perkara berkaitan MA63 merangkumi perlindungan perlembagaan, kuasa pentadbiran, pengaturan kewangan, imigresen, pendidikan, penjagaan kesihatan dan sumber asli yang memberi kesan kepada kepentingan serta kesejahteraan rakyat.
Oleh Liong Chai Ling




