ALBUM… Para peserta yang terdiri daripada golongan belia mengikuti Kursus Asas Go-Kart Bahagian Miri rakam kenangan bersama Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak Lamat Nyalau.
KURSUS sukan go-kart akan memberi satu semangat baharu kepada belia ekoran sukan ini lama tidak diadakan di Sarawak.
Menurut Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Lamat Nyalau berkata, penganjuran kursus ini pastinya akan memberikan semangat baru kepada belia di negeri ini untuk menghidupkan dan meneruskan minat dalam sukan go-kart.
“Kita akan sedaya upaya mengadakan kursus-kursus yang lain pada tahap yang lebih tinggi.
“Kursus ini adalah asas go-kart dan kita akan usahakan supaya suatu hari nanti diadakan kursus pada tahap yang lebih tinggi kepada peminat sukan ini di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Penutupan Program MyFIT@Motorsports 2021: Kursus Asas Go-Kart Bahagian Miri di Litar Go-Kart Permyjaya Miri, Sabtu lepas.
Tambahnya, kursus ini akan diperluaskan ke seluruh bahagian di Sarawak bagi membolehkan belia yang berminat menceburi sukan go-kart. Seramai 35 peserta yang terdiri daripada golongan belia mengikuti Kursus Asas Go-Kart Bahagian Miri.