Kursus Kesedaran Sivik dan Kenegaraan perkukuh perpaduan dan keharmonian masyarakat

Facebook
WhatsApp
PENGHARGAAN… Pegawai Daerah Marudi, Therry Noel George Anyi menyampaikan cenderamata kepada Pemanca Randie Bundan.

MARUDI: Seramai 92 peserta dari sekitar Marudi menyertai Kursus Kesedaran Sivik dan Kenegaraan (Asas Jati Diri dan Kesejahteraan Keluarga) anjuran Pejabat Kemas Daerah Marudi, hari ini.

Kursus yang berlangsung di Bilik Seminar Dewan Suarah Marudi itu bertujuan meningkatkan kesedaran sivik, memperkukuh jati diri serta memantapkan institusi keluarga dalam kalangan masyarakat setempat.

Majlis penangguhan kursus tersebut disempurnakan Pemanca Randie Bundan.

Randie berkata, usaha Kemas menganjurkan program seumpama itu wajar dipuji kerana menjadi wadah dalam membentuk masyarakat yang berintegriti, berwawasan dan mempunyai kesedaran sivik yang tinggi.

Katanya, kursus berkenaan bukan sekadar menjadi platform perkongsian ilmu, malah memberi impak besar kepada masyarakat setempat menerusi usaha memperkukuh perpaduan dan keharmonian serta meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab sivik.

“Program seperti ini juga penting dalam melahirkan pemimpin komuniti yang berwibawa serta memupuk semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat,” katanya.

PESERTA Kursus Kesedaran Sivik dan Kenegaraan anjuran pejabat Kemas Marudi merakam gambar kenangan bersama.

Sementara itu, Pegawai Kemas Daerah Marudi, Therry Noel George Anyi, berkata kursus berkenaan dirangka selaras dengan dasar pembangunan luar bandar bagi membudayakan perkhidmatan sosial secara langsung kepada masyarakat di peringkat akar umbi.

Katanya, program itu turut menjadi platform untuk memperkasakan penyampaian maklumat berkaitan dasar-dasar kerajaan semasa kepada masyarakat luar bandar.

Dalam pada itu, beliau berkata kursus berkenaan memberi fokus kepada pemantapan institusi keluarga sebagai teras utama dalam melahirkan masyarakat luar bandar yang sejahtera, berdaya tahan dan mempunyai jati diri yang kukuh.

“Kesejahteraan keluarga yang dimaksudkan merangkumi pelbagai aspek, termasuk sosial, pendidikan, emosi, ekonomi, kesihatan, keselamatan dan kerohanian, selain perpaduan serta keharmonian dalam komuniti,” katanya.

Beliau berkata, kursus itu turut memberi penekanan terhadap pembentukan keluarga yang mempunyai kesedaran sivik tinggi, mengamalkan nilai-nilai murni, menghormati kepelbagaian budaya serta memahami hak dan tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia.

Oleh Jiku Juguong