SANDAKAN: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah, Kumpulan Sawit Kinabalu perlu mempelbagaikan tanaman komoditi dalam usaha mencipta peluang pekerjaan dan meningkatkan sekuriti makanan negeri, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Katanya Sawit Kinabalu tidak perlu hanya tertumpu kepada tanaman kelapa sawit, sebaliknya syarikat itu ia berupaya untuk memanfaatkan keluasan tanah miliknya untuk pembangunan tanaman lain.
“Tidak ada silapnya jika kita terlibat dalam mengeluarkan produk yang menjamin bekalan makanan mencukupi. Ini akan memberi banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak kita di peringkat negeri,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan minyak masak Gold keluaran Intipati Minyak Sdn Bhd, anak syarikat Sawit Kinabalu, di sini hari ini.
Mohd Shafie berkata sebagai antara GLC negeri yang terbesar, Sawit Kinabalu boleh mengimbangi sekuriti makanan bukan sahaja di Sabah, malah boleh memenuhi permintaan negeri dan negara lain.
Beliau berkata keluasan dan kesesuaian tanah untuk penanaman makanan di Sabah mampu melonjakkan negeri itu sebagai pembekal sayuran dan buah-buahan ke luar negara.
Mengenai minyak masak Gold, Mohd Shafie berkata kilang pengeluaran itu berpotensi untuk meningkatkan kapasiti pengeluarannya bagi memenuhi permintaan luar negara.
Beliau kagum dengan kejayaan syarikat Intipati Minyak yang telah menerima permintaan dari Filipina, Afrika, Timur Tengah dan Korea.
Menurutnya, kilang itu kini mengeluarkan 2,000 tan minyak masak yang siap dibotol.
Kilang minyak masak itu adalah yang kedua diusahakan oleh sebuah GLC di Sabah selepas di Tawau oleh Benta Wawasan Sdn Bhd dan yang ketiga akan diwujudkan di Keningau, dikendalikan oleh Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah.- Bernama