KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) akan mengadakan program Kuching Fest Fitness 2024 sempena Festival Makanan Kuching 2024 pada 4 Ogos kelak bermula 8.00 pagi hingga 4.00 petang.
Datuk Bandar MBKS, Dato Wee Hong Seng berkata, acara sukan terbuka kepada remaja berumur 15 sehingga 17 tahun dan dewasa berumur 18 tahun ke atas ini bertujuan membuka ruang dan peluang kepada satu siri aktiviti sihat untuk lapisan masyarakat.
Katanya, program anjuran MBKS itu ditaja oleh OHS Motor Sdn Bhd dengan harapan dapat menarik minat golongan muda untuk bersukan dan meningkatkan kecergasan fizikal.
Wee berkata demikian pada sidang media Kuching Fest 2024 Functional Fitness Event di MBKS, hari ini.
Pada masa sama, Wee turut merakamkan ucapan terima kasih atas penekanan terhadap latihan fizikal remaja dan berharap acara ini berjaya sepenuhnya.
“Melalui acara sebegini, golongan muda bukan sahaja dapat menikmati keseronokan bersukan, malah mereka juga boleh mencabar diri mereka.
“Malah dengan adanya program sihat seperti ini dapat memberi inspirasi kepada mereka dan menyebarkan semangat positif ini kepada lebih ramai orang,” jelasnya.
Beliau juga berkata, acara itu menyasarkan penyertaan seramai 100 orang.
Jelas Wee lagi, terdapat empat kategori dipertandingkan menerusi program itu.
Antaranya, ‘Thrones Lelaki Terbuka’, ‘Thrones Wanita Terbuka’, ‘Thrones Remaja Lelaki’ dan ‘Thrones Remaja Perempuan’.
Bagi kategori ‘Thrones Lelaki Terbuka’ dan ‘Thrones Wanita Terbuka’, juara akan membawa pulang hadiah wang tunai RM800.
Sementara itu, naib juara pertama memperoleh RM300. Naib juara kedua pula bakal menerima RM200.
Bagi kategori ‘Throne Teen Male’ dan ‘Throne Teen Female’, juara akan menerima RM300, diikuti RM200 dan RM100 untuk tempat kedua dan ketiga.
Mengulas lanjut, Wee turut memaklumkan bahawa Tarikh tutup pendaftaran adalah pada 21 Julai depan dan yuran penyertaan adalah sebanyak RM60.
Pendaftaran boleh dilakukan dengan melayari http://surl.li/ujytk.
Oleh Azreen Keria