KUCHING City Fc memecah kebuntuannya musim ini apabila melakar kemenangan pertamanya dalam aksi menentang Sarawak United FC di Stadium Negeri, Petrajaya malam Sabtu yang lepas.
Berada di kedudukan tangga paling bawah liga, kedua-dua pasukan kelihatan sangat dahagakan mata penuh daripada perlawanan ini.
Rentak permainan yang penuh bertenaga dipamerkan kedua pasukan sejak awal sepak mula perlawanan.
Jaringan sulung perlawanan diledakkan pemain pertahanan Kuching City iaitu Mohd Hairol Mokhtar hasil daripada tendangan sudut pada minit ke-18.
Sarawak United cuba untuk menyamakan kedudukan namun Kuching City menutup aksi separuh masa pertama dengan mendahului 1-0.
Separuh masa kedua bermula lebih garang yang mana kedua pasukan saling berbalas serangan.
Sarawak berjaya memecah kebuntuan selepas percubaan Amri Yahya pada minit ke-60 separuh masa kedua terkena palang gol Kuching City lalu melantun tepat kepada Patrick Ronaldinho yang terus disempurnakannya dengan sangat kemas.
Malang buat Kuching bertambah apabila pemain tengah Tommy Mawat Bada diarah keluar padang apabila dilayang kad kuning kedua selepas melakukan terjahan keras terhadap pertahanan Sarawak United, Abdul Qayyum pada minit ke-62.
Walaupun beraksi dengan hanya 10 pemain nyata tidak menggentarkan semangat dan tumpuan Kuching City untuk mencari peluang kemenangan.
Buktinya, Kuching berjaya meledakkan gol kedua mereka pada minit ke-86 hasil daripada tandukan cantik daripada kapten pasukan, Rafiezan Razali.
Jentera serangan Sarawak United melancarkan serangan bertubi-tubi ke arah benteng Kuching City bagi mencari mata penyamaan namun usaha mereka gagal.
Kemenangan perlawanan ini sah milik Kuching City FC dengan keputusan akhir jaringan 2-1.
Jurulatih Kuching FA Muhammad Nazri Zainal Ariffin ketika ditemui selepas tamat perlawanan berkata tiga mata penuh ini jelas terlalu berharga bagi melonjakkan lagi kedudukan pasukannya di dalam liga.
Katanya, selepas dua perlawanan yang mengecewakan sebelum ini, pasukannya turun dengan lebih berdisiplin dan penuh keyakinan pada perlawanan ini.
Bakal menentang Kelantan United pada perlawanan seterusya, beliau berkata pasukannya akan bersiap sedia dari segi mental dan fizikal meskipun terdapat dilanda masalah kecederaan yang dihadapi beberapa pemain tunggak pasukan itu.
Oleh Akmal Adib Yusup