Kualiti udara Sarawak bertambah baik, Serian masih tidak sihat

Facebook
WhatsApp
BACAAN IPU setakat 12.00 tengah hari. Sumber NREB

KUCHING: Kualiti udara di kebanyakan kawasan di Sarawak menunjukkan sedikit peningkatan dan berada pada tahap sederhana setakat 12.00 tengah hari ini.

Bagaimanapun, bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di IPD Serian (MCAQM) masih merekodkan tahap tidak sihat dengan bacaan 153, menjadikannya satu-satunya stesen pemantauan di negeri ini yang berada dalam kategori berkenaan.

Berdasarkan rekod pemantauan, sebanyak 16 kawasan lain mencatatkan bacaan dalam kategori sederhana. Lundu merekodkan bacaan 95, diikuti Lubok Antu (90), Kuching (89), Samarahan (82), Sri Aman (73), Tebedu (71), Betong (68), Bintulu (62), Samalaju (58), Kanowit (57), Kapit (56), Limbang (54), Mukah dan Miri masing-masing 53, Sarikei (52) serta ILP Miri (51).

Sementara itu, beberapa kawasan mencatatkan kualiti udara pada tahap baik, iaitu Lawas dengan bacaan 49, Sibu (46), Bario (31) dan Belaga (26).

Secara keseluruhannya, bacaan berkenaan menunjukkan keadaan kualiti udara di sebahagian besar kawasan Sarawak berada dalam keadaan sederhana, meskipun Serian masih mencatatkan bacaan dalam kategori tidak sihat.

Orang ramai, khususnya di kawasan yang mencatatkan bacaan tidak sihat, dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap perkembangan semasa kualiti udara dan mengehadkan aktiviti luar sekiranya keadaan bertambah buruk.

Oleh Adele Rissa