Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Krisis Yamtuan Negeri Sembilan: Antara adat, perlembagaan dan batas kuasa
  • KOLUMNIS

Krisis Yamtuan Negeri Sembilan: Antara adat, perlembagaan dan batas kuasa

Utusan Sarawak 4 hours ago

PERKEMBANGAN mutakhir yang menyentuh institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah membuka ruang wacana yang lebih luas tentang sifat sebenar sistem politik Negeri Sembilan.

Ia sebuah sistem yang tidak hanya berteraskan perlembagaan moden, tetapi turut diperkukuh oleh warisan adat yang berakar dalam.

Dalam suasana ini, masyarakat tidak sekadar menyaksikan polemik politik, tetapi sedang berhadapan dengan satu ujian terhadap keseimbangan antara dua sumber autoriti, iaitu adat dan perlembagaan.

Persoalannya bukan sekadar siapa berkuasa, tetapi bagaimana kuasa itu ditafsir dan dilaksanakan dalam konteks negeri yang memiliki identiti politik tersendiri.

Sistem Adat Perpatih

Negeri Sembilan sejak dahulu lagi dikenali dengan sistem Adat Perpatih, yang membentuk struktur sosial dan politik unik berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

Dalam sistem ini, Undang Yang Empat yang terdiri daripada Sungai Ujong, Jelebu, Johol dan Rembau memainkan peranan penting dalam menentukan kepimpinan tertinggi negeri.

Pembesar ini bukan sekadar simbol adat, tetapi institusi yang mempunyai kuasa substantif dalam hal-hal tertentu, khususnya dalam memilih dan melantik Yang di-Pertuan Besar.

Lebih signifikan, dalam keadaan tertentu yang diperuntukkan oleh Undang-Undang Tubuh Negeri, mereka juga mempunyai kuasa untuk menyingkirkan baginda.

Aspek ini menunjukkan bahawa dalam dimensi adat, Undang memegang autoriti yang bukan kecil, bahkan kritikal dalam memastikan kesinambungan legitimasi institusi raja.

Namun, krisis yang berlaku hari ini memperlihatkan bagaimana masyarakat sering kali mencampuradukkan kuasa adat ini dengan kuasa dalam sistem pentadbiran moden.

Kuasa undang

Hakikatnya, kuasa Undang adalah spesifik kepada institusi raja dan adat, bukan meliputi keseluruhan struktur pentadbiran negeri. Dalam konteks ini, adalah penting untuk membezakan secara tegas antara peranan Undang dalam melantik Yang di-Pertuan Besar dengan kedudukan mereka terhadap institusi eksekutif negeri seperti Menteri Besar.

Dalam kerangka perlembagaan moden, jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan beroperasi di bawah prinsip demokrasi berperwakilan yang diwarisi daripada tradisi Westminster UK.

Menteri Besar dilantik oleh Yang di-Pertuan Besar, tetapi pelantikan itu bukan bersifat mutlak, ia bergantung kepada satu syarat asas,  iaitu kepercayaan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri. Selagi kepercayaan itu kekal, kedudukan Menteri Besar adalah sah dari segi perlembagaan.

Sebaliknya, jika kepercayaan itu hilang, maka Menteri Besar perlu meletakkan jawatan atau menasihati pembubaran Dewan. Inilah asas kepada konsep akauntabiliti dalam sistem demokrasi moden, di mana kuasa politik ditentukan oleh sokongan rakyat melalui wakil mereka di Dewan.

Undang-Undang Tubuh

Dalam konteks ini, timbul persoalan penting sama ada Undang mempunyai kuasa untuk memaksa Menteri Besar meletakkan jawatan. Secara tepat jawapannya tidak secara langsung.

Tiada sebarang peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan yang memberikan kuasa kepada Undang untuk melantik atau memecat Menteri Besar.

Kuasa tersebut terletak secara formal pada Yang di-Pertuan Besar, dan secara substantif pada Dewan Undangan Negeri melalui sokongan majoriti. Hal ini bermakna sebarang tindakan Undang yang dilihat sebagai mendesak Menteri Besar meletak jawatan tidak mempunyai kesan perlembagaan yang mengikat.

Realiti politik

Namun begitu, menafikan sepenuhnya peranan Undang dalam konteks politik Negeri Sembilan juga adalah satu simplifikasi yang tidak tepat. Dalam realiti politik yang sarat dengan simbolisme dan legitimasi sosial, Undang tetap mempunyai pengaruh walaupun tidak bersifat perundangan.

Mereka boleh mempengaruhi persepsi awam, memberikan isyarat politik, dan dalam keadaan tertentu, memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Besar.

Tetapi pengaruh ini adalah normatif dan tidak mengikat, berbeza dengan kuasa formal yang diperuntukkan oleh perlembagaan.

Krisis ini sebenarnya memperlihatkan satu fenomena yang lebih besar, iaitu dualisme dalam sistem politik Negeri Sembilan.

Dari satu sisi, terdapat dimensi adat yang berakar pada sejarah dan legitimasi tradisional, yang boleh dianalisis melalui kerangka autoriti tradisional seperti yang dihuraikan dalam teori sosiologi jenis kepimpinan oleh Max Weber.

Dalam dimensi ini, Undang memainkan peranan penting dalam menentukan individu yang layak memegang kedudukan tertinggi dalam institusi raja. Daripada sisi yang lain pula, terdapat dimensi rasional legal yang menjadi asas kepada negara moden, iaitu kuasa politik ditentukan oleh prosedur, undang-undang dan sokongan majoriti atas nama demokrasi berparlimen dan konsep raja berperlembagaan perlu dihayati secara lebih mendalam dalam perundangan negara.

Autorti tradisionalisme

Pertembungan antara dua dimensi ini, iaitu kuasa adat dan mekanisme perlembagaan bukanlah sesuatu yang luar biasa, tetapi ia menjadi kritikal apabila batas antara keduanya tidak difahami dengan jelas.

Apabila kuasa adat dilihat seolah-olah boleh melangkaui domain politik moden, maka berlakulah kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Dalam keadaan ini, penting untuk ditegaskan bahawa kuasa adat tidak boleh menggantikan atau mengatasi mekanisme perlembagaan dalam menentukan kedudukan Menteri Besar.

Lebih jauh lagi, krisis ini juga memberi pengajaran penting tentang keperluan untuk memperkukuh literasi perlembagaan dalam kalangan masyarakat.

Dalam era politik yang semakin kompleks, kefahaman terhadap struktur kuasa dan batasannya menjadi semakin penting. Tanpa kefahaman ini, masyarakat mudah terperangkap dalam naratif yang mengelirukan, yang akhirnya boleh menjejaskan kestabilan politik negeri.

Dimensi politik moden

Dalam menilai krisis ini, kita juga tidak boleh mengabaikan dimensi politik yang lebih luas. Sebarang tindakan atau kenyataan daripada mana-mana pihak sama ada Undang, institusi raja atau pemimpin politik akan sentiasa ditafsir dalam kerangka kepentingan politik semasa.

Maka, adalah penting untuk membezakan antara tindakan yang bersifat simbolik dengan tindakan yang mempunyai implikasi perlembagaan. Kegagalan membuat perbezaan ini boleh membawa kepada salah tafsir yang berbahaya.

Akhirnya, krisis Yamtuan Negeri Sembilan ini bukan sekadar isu individu atau institusi, tetapi merupakan cerminan kepada dinamika sistem politik yang kompleks.

Ia menguji keupayaannegeri untuk mengekalkan keseimbangan antara tradisi dan modeniti, antara adat dan perlembagaan. Dalam konteks ini, penyelesaian kepada krisis ini tidak hanya bergantung kepada tafsiran undang-undang, tetapi juga kepada kebijaksanaan politik dan kematangan institusi.

Rumusan

Justeru ditegaskan bahawa Undang Yang Empat mempunyai kuasa yang signifikan dalam hal institusi raja, termasuk pelantikan dan penyingkiran Yang di-Pertuan Besar, tetapi tidak mempunyai kuasa perundangan untuk memecat atau memaksa Menteri Besar meletakkan jawatan.

Kedudukan Menteri Besar ditentukan oleh dua faktor utama, yang pertama ialah kepercayaan Dewan Undangan Negeri dan kedua ialah kuasa formal Yang di-Pertuan Besar dalam kerangka perlembagaan.

Oleh itu, sebarang tindakan Undang terhadap Menteri Besar hanya boleh dilihat sebagai bersifat politik atau simbolik, bukan konstitusional.

Krisis ini, jika ditangani dengan bijaksana, boleh menjadi titik tolak kepada pemantapan sistem politik Negeri Sembilan.

Namun jika disalah tafsir, ia berpotensi menimbulkan ketegangan yang tidak perlu antara institusi adat dan perlembagaan.

Maka, diperlukan kini bukan sekadar reaksi, tetapi kefahaman-kefahaman yang mendalam tentang batas kuasa, peranan institusi, dan keperluan untuk mengekalkan keseimbangan dalam sebuah sistem yang unik tetapi rapuh jika tidak diharmonikan.

  • Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah ahli akademik di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau kini ialah Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara  dan  Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia.
Tags: Dr Awang Azman

Continue Reading

Previous: Operasi Bebatak dalam menangani ancaman komunis

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.