Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Operasi Bebatak dalam menangani ancaman komunis
  • KOLUMNIS

Operasi Bebatak dalam menangani ancaman komunis

Utusan Sarawak 20 hours ago

MESKIPUN konfrontasi telah berakhir pada 1966, Sarawak masih belum benar-benar aman daripada ancaman bersenjata. Fokus ancaman pula beralih kepada gerakan komunis yang menjadi penggugat besar kepada keamanan Sarawak.

Hal ini menyebabkan rakyat Sarawak hidup dalam ketakutan dan sentiasa bimbang akan ancaman serangan daripada kumpulan tersebut.

Ancaman ini lebih ketara di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak.

Bahagian terbesar di Sarawak iaitu Bahagian Ketiga (kini Sibu) ketika itu menjadi medan utama kegiatan komunis di Sarawak. Kes ugutan dan gangguan sering berlaku ke atas penduduk pedalaman Sarawak.

Atas sebab itu antara usaha dilakukan oleh kerajaan adalah membawa penduduk pedalaman Sarawak ini ke satu kawasan lebih selamat.  Usaha ini menampakkan usaha yang mempunyai pelbagai tujuan. 

Pertama, inisiatif tersebut merupakan satu usaha untuk melindungi penduduk di kawasan pedalaman daripada ancaman pihak komunis.

Kedua, pemindahan penduduk ke kawasan penempatan semula bertujuan untuk memutuskan rantaian sokongan komunis, khususnya dalam menyekat akses mereka terhadap maklumat risikan dan bekalan makanan.

Sebagaimana ketegasan Tun Abdul Razak pada 1972, usaha menangani ancaman komunis diperkukuhkan melalui pelaksanaan program penempatan semula penduduk bagi menjamin keselamatan negara.

OPERASI Bebatak ialah salah satu operasi keselamatan di Sarawak pada era ancaman komunis (sekitar 1960-an hingga awal 1970-an), khususnya melibatkan usaha pasukan keselamatan Malaysia mengekang kegiatan gerila di kawasan pedalaman dan sempadan. Foto AI

Menurut beliau, strategi tersebut pernah dilaksanakan di Tanah Melayu sewaktu ancaman komunis memuncak pada 1950-an. Keberkesanan pendekatan ini terbukti apabila ia berjaya melumpuhkan kegiatan komunis di Tanah Melayu secara drastik.

Ketiga, langkah ini merupakan usaha kerajaan untuk memacu kemajuan penduduk di kawasan pedalaman. Taburan penduduk yang berselerak di pedalaman sebelum ini menyukarkan pelaksanaan agenda pemodenan dan pembangunan sosioekonomi mereka.

Justeru, pengumpulan penduduk di kawasan penempatan yang tetap dan selamat dipercayai dapat meningkatkan taraf hidup mereka secara lebih efektif.

Pembunuhan

Sehubungan dengan ancaman komunis ini, penduduk di Bahagian Ketiga Sarawak pada 26 Februari 1972 digemparkan dengan pembunuhan Penghulu Imban di Sekuau. Pembunuhan penghulu ini membimbangkan penduduk di pedalaman Sarawak.

Faktor keselamatan ini memaksa penduduk meninggalkan rumah panjang mereka dan melarikan diri ke kawasan yang lebih terjamin dalam aspek keselamatan.

Situasi ini dialami oleh penduduk di Ulu Oya dan Ulu Pakoh apabila mereka memilih untuk meninggalkan tempat tinggal lama bagi memulakan kehidupan baharu di penempatan Sekuau.

Kebimbangan ini dirasai juga oleh penduduk sekitar yang lain seperti di Batang Kabah dan Batang Ngemah untuk bertindak keluar dari kawasan kediaman mereka mencari kawasan lebih selamat.

SERBUAN hendap dalam hutan ketika Operasi Bebatak. Foto gambaran AI

Tindakan ini diambil memandangkan penduduk sering menjadi sasaran paksaan, ugutan, dan gangguan pihak komunis yang mahu memastikan kelangsungan perjuangan mereka melalui sokongan rakyat.

Prihatin

Bagi menjamin keselamatan rakyat di Bahagian Ketiga, pihak RASCOM telah membantu memindahkan penduduk ke kawasan yang lebih selamat. Usaha penempatan semula ini difokuskan di tiga kawasan utama yang telah dikenal pasti iaitu Jagau, Ngungun dan Tada.

Hasil daripada perancangan tersebut, satu gerakan yang dikenali sebagai Operasi Bebatak telah dilancarkan untuk menyelaras penempatan semula penduduk.

Secara keseluruhannya, sebanyak 46 rumah panjang telah disediakan di kawasan tersebut bagi menampung 4,089 penduduk daripada 635 keluarga.

Skim ini mendukung empat matlamat utama iaitu memisahkan penduduk daripada pengaruh pengganas komunis, memindahkan mereka ke kawasan yang lebih selamat, memberikan perlindungan berterusan daripada ancaman musuh dan meningkatkan taraf sosioekonomi mereka.

Pelaksanaan skim ini didorong oleh tiga faktor utama iaitu ancaman komunis yang mengancam keselamatan rakyat, kesukaran pihak berkuasa memantau kawasan penempatan penduduk yang berselerak dan terlalu terpencil, dan keinginan penduduk pedalaman untuk mendapatkan perlindungan yang lebih terjamin.

Melalui perpindahan ke kawasan baharu, pihak keselamatan dapat menjalankan kawalan dengan lebih efektif.

Pemberian

Dalam usaha untuk mengumpul dan memindahkan penduduk ini, kerajaan Sarawak juga telah dijemput untuk mengatur persediaan skim ini. Kerajaan Sarawak diwakili oleh Timbalan Ketua Menteri, Alfred Jabu dan Menteri Kerajaan Tempatan, Leo Moggie.

Dalam pertemuan itu, RASCOM menjelaskan bahawa setiap keluarga bakal menerima tanah untuk mengusahakan tanaman lada dan getah. Inisiatif ini diperluas dengan penyediaan tanah tambahan bagi aktiviti pertanian lain termasuk menampung pertumbuhan penempatan tersebut pada masa depan.

Untuk memberi kemudahan sosial asas kepada penduduk ini, beberapa kemudahan infrastuktur dicadangkan. Kemudahan ini termasuk pembinaan sekolah rendah, pusat sub-kesihatan, dewan masyarakat, kedai koperasi dan pejabat kerajaan serta institusi keagamaan. 

Selain itu, kawasan penempatan semula ini turut dilengkapi kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air bersih. Bagi memperkukuh aspek kemudahan awam, pembinaan taman rekreasi juga telah disenaraikan sebagai antara cadangan pembangunan yang bakal dilaksanakan di kawasan tersebut.

Dalam aspek pembinaan kediaman pihak kerajaan membekalkan bahan binaan untuk pembinaan rumah panjang. Proses pembinaannya pula dijalankan sepenuhnya oleh penduduk tempatan melalui amalan gotong-royong, sekali gus memperkukuh semangat kerjasama dalam kalangan mereka.

Keluasan

Untuk tujuan pengambilan tanah, RASCOM menganggarkan sebanyak 17,000 ekar tanah diperlukan. Daripada jumlah tersebut, kira-kira 5,000 ekar diperuntukkan bagi Jagau, 7,000 ekar bagi Ngungun dan 5,000 ekar bagi Tada. 

Peruntukan tanah ini akan menempatkan kawasan kediaman, dan penanaman lada dan getah serta beberapa kawasan kemudahan lain.

Rumusannya, skim penempatan semula ini mencerminkan komitmen kerajaan yang melangkaui sekadar strategi ketenteraan.

Di sebalik matlamat utama untuk menyelamatkan nyawa daripada keganasan komunis, usaha ini turut memperlihatkan kesungguhan dalam membela kebajikan rakyat Sarawak.

Penduduk yang dipindahkan ini bukan sekadar menikmati keselamatan, malah berpeluang mengecap kemajuan melalui penyediaan infrastruktur sosial dan peluang ekonomi yang lebih terjamin.

  • Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia. 
Tags: Dr Suffian Mansor

Continue Reading

Previous: Perkhidmatan doktor udara masih perlu di pedalaman Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.