Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • GPS: Perlu gabungan muka baharu, lama untuk calon PRN
  • KOLUMNIS

GPS: Perlu gabungan muka baharu, lama untuk calon PRN

Utusan Sarawak 3 hours ago

MASALAH paling besar dalam kalangan YB, sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Ahli Parlimen di mana sahaja di negara ini ialah begitu berat atau sukar untuk mengundur diri walaupun sudah banyak penggal jadi ‘Yang Berhormat’.

“Serah pada rakyat.” Itu antara alasan popular terutama dalam kalangan veteran YB, walaupun sesetengahnya sudah kurang berdaya termasuk masalah kesihatan.

Tindakan ‘menjaja nama rakyat’ ini akan membebankan parti terutama presiden parti. Bila tidak dicalon semula, akan merajuk dan dulu-dulu pernah mereka yang digugur bertanding semula sebagai calon Bebas atau atas tiket parti pembangkang kerana tidak puas hati.

“Namun, apabila calon dalam kalangan orang muda diketengahkan, saya berharap pemimpin yang lebih berpengalaman tidak merajuk,” kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika menyampaikan amanat dan ucapan perasmian Konvensyen Gabungan Parti Sarawak (GPS) Ahad lalu.

Oleh itu katanya yang juga Pengerusi GPS merangkap Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), semua pihak perlu menerima keputusan parti secara terbuka dan terus menyokong usaha memperkukuh organisasi.

Pesanan itu perlu diingat oleh pemimpin veteran, keadaan sama yang mereka hadapi pada zaman muda dulu apabila kali pertama bertanding – mereka diberi peluang ganti orang lama. Kini bila sudah jadi veteran, maka giliran anda perlu pula beri peluang pada anak muda.

Ini bukan bermakna, semua veteran perlu undur dan yang rajin turun padang, proaktif, sihat dan masih disayangi rakyat, perlu dikekalkan supaya kepemimpinan parti ada unsur gabungan orang lama dan baharu.

Pengerusi Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran UKM, Prof Dr Novel Lyndon berkata apa yang disebut Premier Sarawak itu adalah satu strategi perancangan penggantian.

“Dalam teori organisasi, kenyataan Abang Johari mencerminkan model ‘Peralihan Kepimpinan Berstruktur’. PBB cuba mengelakkan ‘leadership vacuum’ (kekosongan kepimpinan) dengan menyuntik darah muda ke dalam sistem sedia ada.

“Beliau menekankan keseimbangan. Ini adalah langkah pragmatik untuk memastikan ‘institutional memory’ (pengalaman pemimpin lama) tidak hilang begitu sahaja apabila berlaku transisi generasi.

PREMIER Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika hadir di Konvensyen GPS Ahad lalu. Foto Ukas.

TANGANI ISU SABOTAJ

“Mitigasi Risiko: Dengan meminta pemimpin lama agar tidak ‘merajuk’, beliau sedang menangani risiko dalaman iaitu sabotaj politik atau perpecahan faksi yang sering berlaku apabila proses peremajaan parti tidak diuruskan dengan baik,” katanya pada penulis.

Felo Penyelidik, Institut Pengajian Borneo, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof. Madya Stanley Bye Kadam Kiai pula berkata tidak ada masalah jika anak muda diserapkan ke dalam organisasi politik dan diketengahkan sebagai calon.

“Tetapi seperti apa yang ditekankan oleh Premier Sarawak, mereka perlu belajar daripada pemimpin berpengalaman.”

“Persoalannya di sini, kita memang tahu bahawa sebagai manusia, ada yang ingin belajar dan ada pula yang tidak ingin belajar tetapi hendak terlibat secara langsung dalam politik.

“Memang tidak dinafikan juga bahawa pemuda-pemudi memang lebih cergas secara fizikal dan lebih cekap dalam menggunakan teknologi terkini seperti ekonomi digital.

“Namun kecekapan dan kecergasan itu adalah hanya peralatan dan perkakasan teknologi sahaja. Keputusan untuk menjadikan pengunaan peralatan atau perkakasan tersebut untuk menjadi sebuah dasar kerajaan memerlukan pengalaman untuk mentadbir, kematangan berfikir dan telah melalui pelbagai strategi dan proses pemodenan dan perkembangan diri dan negara.

“Seperti pemimpin yang sudah berumur, pemuda-pemudi sekarang juga akan belajar daripada perubahan teknologi dan proses pemodenan yang akan datang,” katanya kepada penulis.

Malah buat kali pertama dalam PRN Sarawak akan datang ialah kemunculan belia berusia 18 tahun, berbanding 21 tahun sebelum ini, bakal mengundi. Kelayakan umur pengundi 18 tahun, lebih dikenali sebagai Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik itu dijangka bertambah secara drastik.

Cara mereka berfikir berbeza dengan pendekatan tidak terlalu terikat kepada mana-mana parti, kurang ‘setia’ kepada mana-mana parti dan lebih mudah berubah sokongan.

Sebaliknya, golongan remaja/belia ini lebih cenderung dipengaruhi media sosial seperti TikTok, Instagram dan Facebook dengan fokus isu praktikal seperti gaji dan peluang kerja, kos sara hidup dan masa depan ekonomi.

“DENGAN meminta pemimpin lama agar tidak ‘merajuk’, Premier Sarawak sedang menangani risiko dalaman iaitu sabotaj politik atau perpecahan,” – Prof Dr Novel Lyndon.

UNDI18 PENENTU

Tetapi menurut Dr Novel, secara akademik, penglibatan calon muda adalah respons terhadap perubahan demografi pengundi di Malaysia dan Sarawak secara khusus.

Katanya, selepas pelaksanaan Undi18, segmen pengundi muda menjadi penentu dan meletakkan calon muda adalah strategi representation (perwakilan) untuk menarik sokongan psikologi daripada golongan sebaya mereka.

“Dengan memberi ruang kepada orang muda, PBB berusaha untuk membuang imej ‘parti orang lama’ dan membina imej yang lebih inklusif serta progresif.

“Secara keseluruhan, kenyataan ini menunjukkan PBB sedang mengamalkan Evolusi Terancang dan bukannya Revolusi. PBB sedar bahawa untuk kekal dominan sebagai tulang belakang GPS, mereka tidak boleh statik.

“Mereka perlu mengintegrasikan dinamisme belia ke dalam kerangka kestabilan tradisional bagi memastikan kelangsungan kuasa dalam landskap politik Malaysia yang semakin kompetitif,” katanya.

Prof. Madya Stanley Bye pula berkata apabila menyentuh tentang ’calon muda,’ perkara pertama yang terlintas dalam fikiran ialah apakah maksud istilah atau konsep ’muda’ yang digunakan untuk mendefinisikan ’calon muda’.

TIADA masalah jika orang muda diketengahkan sebagai calon. Tetapi mereka perlu belajar daripada pemimpin berpengalaman.” – Prof. Madya Stanley Bye Kadam Kiai.

“Adakah konsep muda ini merujuk kepada pemuda-pemudi yang berumur di bawah antara 18-40 tahun? Adakah ini bermaksud bahawa PBB akan memberikan ruang kepada kumpulan umur ini untuk bertanding sebagai calon dalam pilihan raya negeri ke-13 yang akan diadakan dalam tempoh kurang setahun daripada sekarang.

“Di peringkat akar umbi, mungkin tidak ada Ketua Kampung atau Tuai Rumah yang berumur di bawah 40 tahun. Kenapa? Adakah kita tidak percaya kepada golongan muda-mudi untuk menjadi pemimpin di peringkat akar umbi sebagai Ketua Kampung atau Tuai Rumah atas sebab-sebab tertentu, seperti mereka masih dianggap sebagai belum matang dalam membuat keputusan besar berkaitan masalah dihadapi oleh masyarakat, belum cukup berpengalaman hidup, belum cukup berpengetahuan kemasyarakatan dan sebagainya.

“Contohnya, di peringkat rumah panjang, pemuda-pemudi belum dipercayai sangat untuk memimpin rumah panjang kerana mungkin mereka belum faham sangat tentang budaya, sistem, adat-resam dan tradisi rumah panjang.

“Persoalannya di sini, kenapa pemuda-pemudi tidak diberi peluang untuk menjadi pemimpin di peringkat akar umbi, iaitu di peringkat yang paling rendah, tetapi akan diberi peluang untuk menjadi pemimpin negeri atau negara, iaitu di peringkat yang paling tinggi?,” katanya.

  • Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak

Continue Reading

Previous: Krisis Yamtuan Negeri Sembilan: Antara adat, perlembagaan dan batas kuasa

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.