Kreativiti ‘Kurma Bebola Daging’ bawa Alex raih johan Pertandingan Kurma Gergasi

Facebook
WhatsApp

KUCHING: Kreativiti dan kemahiran kulinari dua pelatih Yahos School of Skills membuahkan hasil apabila mereka berjaya mengungguli Pertandingan Kurma Gergasi yang berlangsung di The Hills, Kuching baru-baru ini.

Pelatih, Alex Sii How, mencuri tumpuan apabila dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Kurma Gergasi menerusi hidangan kreatifnya, ‘Kurma Bebola Daging’.

Keunikan hidangan berkenaan bukan sahaja mengetengahkan cita rasa masakan kurma, malah memperlihatkan kebolehan Alex menghasilkan inovasi baharu dalam penyediaan makanan.

Kejayaan itu melayakkan Alex membawa pulang hadiah wang tunai RM600 berserta sijil penghargaan.

Turut mencipta kejayaan ialah Wilson Ngiek yang meraih tempat kedua menerusi hidangan istimewa ‘Kurma-Infused Chicken Mousse Served with Kurma Sauce’.

Pencapaian tersebut membolehkan Wilson menerima hadiah wang tunai RM300 berserta sijil penghargaan, sekali gus melengkapkan kejayaan berganda Yahos School of Skills dalam pertandingan berkenaan.

Pengarah Urusan Yahos School of Skills, Natasha Nasa Uggah, merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada kedua-dua pelatih atas pencapaian membanggakan itu yang disifatkan sebagai bukti keupayaan, kreativiti serta penguasaan kemahiran kulinari yang tinggi.

Menurut beliau, kejayaan Alex dan Wilson membuktikan komitmen mereka dalam mengaplikasikan ilmu serta kemahiran yang dipelajari, selain menyerlahkan potensi besar golongan muda dalam bidang hospitaliti dan kulinari.

“Pencapaian Alex dan Wilson amat membanggakan seluruh warga Yahos School of Skills. 

“Kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama institusi, malah menjadi inspirasi kepada pelatih lain untuk terus berusaha meningkatkan kemahiran, mencetuskan idea kreatif dan mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.

Natasha berkata, Yahos School of Skills akan terus komited menyediakan latihan berkualiti menerusi bidang pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET), khususnya dalam usaha melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, kreatif dan berdaya saing.

Beliau menambah, kejayaan kedua-dua pelatih itu membuktikan pendekatan latihan berteraskan amali serta pembangunan bakat yang diterapkan institusi berkenaan mampu melahirkan individu yang bersedia menghadapi cabaran industri dan menyerlah dalam pertandingan.

“Tahniah kepada Alex Sii How dan Wilson Ngiek atas kejayaan cemerlang dalam mengharumkan nama Yahos School of Skills,” ujarnya.

Oleh Adi Safarman