
KUCHING: Industri kraf berperanan sebagai medium penyatuan masyarakat berbilang kaum di Sarawak, selain menjadi lambang identiti serta pemangkin pertumbuhan ekonomi kreatif negeri ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kekayaan seni kraf Sarawak mencerminkan keunikan warisan budaya lebih 34 etnik dan subetnik di negeri ini yang perlu terus dipelihara serta diperkasakan.
“Kraf menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat pelbagai kaum di Sarawak.
“Melalui pameran, bengkel dan program berkaitan kraf, masyarakat bukan sahaja berkongsi kemahiran dan kreativiti, malah membina persefahaman serta memperkukuh perpaduan,” katanya.
Ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan pada majlis Ramah Tamah Aidilfitri dan Pra Gawai 2026 anjuran Majlis Kraf Sarawak di sini, semalam.

“Setiap hasil kraf seperti tenunan Pua Kumbu masyarakat Iban, seni manik Orang Ulu, songket dan keringkam Melayu Sarawak, terendak Melanau serta ukiran kayu masyarakat Bidayuh membawa nilai sejarah, identiti dan kepercayaan tersendiri,” tambahnya.
Abdul Karim berkata, industri kraf turut memberi sumbangan langsung kepada ekonomi rakyat menerusi penglibatan pengusaha, artisan dan komuniti luar bandar.
Jelasnya, produk kraf seperti anyaman, ukiran kayu, seni manik dan tekstil tradisional mempunyai potensi komersial tinggi serta mampu menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa sekiranya diberikan sokongan sewajarnya.
Beliau berkata, kerajaan negeri melalui Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan serta Majlis Kraf Sarawak akan terus mempergiat pelbagai inisiatif bagi memastikan industri kraf kekal berdaya saing.
“Dengan sokongan latihan, inovasi reka bentuk dan penggunaan platform digital, produk kraf tempatan mampu berkembang lebih luas sekali gus meningkatkan pendapatan penggiat industri kreatif,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan penglibatan generasi muda dalam memastikan warisan kraf terus relevan dan tidak luput ditelan zaman.
Katanya, penggunaan teknologi digital dalam pemasaran dan pembangunan produk perlu diperkasakan agar industri kraf Sarawak terus berkembang selari dengan arus pemodenan.
Oleh Adele Rissa