Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Trash Hero Kuching terajui usaha tangani masalah sampah sarap
  • TEMPATAN

Trash Hero Kuching terajui usaha tangani masalah sampah sarap

Utusan Sarawak 5 hours ago
SEBAHAGIAN sukarelawan Trash Hero Kuching berganding bahu mengutip sampah di sekitar Tebingan Sungai Kuching setelah ia menjadi misi mingguan untuk memastikan bandar bersih ketika ditemui Bernama, baru-baru ini. Pemandangan beg sampah berbaris di sepanjang waterfront juga menjadi peringatan jelas bahawa sampah kekal sebagai isu berterusan walaupun Kuching diiktiraf sebagai bandar ke-11 terbersih di dunia pada 2024 oleh syarikat teknologi kualiti udara Switzerland, IQAir. Foto Bernama.

KUCHING: Bagi kebanyakan orang, Sabtu pagi di Tebingan Kuching diisi dengan aktiviti santai seperti bersiar-siar, menghirup kopi bersama rakan atau berjoging sambil menikmati pemandangan Sungai Sarawak.

Namun, bagi sekumpulan sukarelawan yang lengkap bersarung tangan sambil membawa penyepit sampah dan beg plastik, adalah menjadi rutin mingguan mengutip sampah untuk memastikan bandar raya ini kekal bersih. 

Dalam tempoh kurang sejam semasa aktiviti pembersihan di Bangunan Old Court House berhampiran tebingan itu, baru-baru ini, sukarelawan Trash Hero Kuching berjaya mengumpul 19 kilogram (kg) sampah sarap termasuk puntung rokok, cawan plastik, pembungkus makanan, botol dan sisa sekali guna. 

HASIL sebahagian sampah sarap yang berjaya dikumpulkan oleh sukarelawan Trash Hero Kuching ketika ditemui Bernama, baru-baru ini. Pemandangan beg sampah berbaris di sepanjang waterfront juga menjadi peringatan jelas bahawa sampah kekal sebagai isu berterusan walaupun Kuching diiktiraf sebagai bandar ke-11 terbersih di dunia pada 2024 oleh syarikat teknologi kualiti udara Switzerland, IQAir. Foto Bernama.

Ketuanya, Shahrul Izhar berkata, gerakan itu tercetus daripada rasa kurang senang dalam kalangan beberapa rakan yang sering melihat sampah bertaburan ketika bersenam di sekitar bandar raya ini.

“Kami mahu persekitaran yang bersih, tetapi tempat yang kami pergi ada sahaja sampah. Ia mencacatkan keindahan tempat itu, dan kucing serta anjing liar pula makan sisa sampah sarap itu,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Plastik sampah yang disusun di sepanjang tebingan memberikan peringatan hakikat bahawa masalah sampah masih berterusan walaupun Kuching diiktiraf sebagai bandar raya ke-11 paling bersih di dunia pada 2024 oleh syarikat teknologi kualiti udara Switzerland, IQAir.

HASIL sebahagian sampah sarap yang berjaya dikumpulkan oleh sukarelawan Trash Hero Kuching ketika ditemui Bernama, baru-baru ini. Pemandangan beg sampah berbaris di sepanjang waterfront juga menjadi peringatan jelas bahawa sampah kekal sebagai isu berterusan walaupun Kuching diiktiraf sebagai bandar ke-11 terbersih di dunia pada 2024 oleh syarikat teknologi kualiti udara Switzerland, IQAir. Foto Bernama.

Shahrul, yang juga seorang penjawat awam berkata kumpulan itu mula ditubuhkan pada Jun 2023, bermula dengan hanya tiga orang yang membersihkan kawasan sekitar Pusat Sivik Kuching.

“Setiap Sabtu, saya bersama dua rakan meluangkan masa sejam untuk membersihkan kawasan, namun jumlah sampah yang kami kutip sentiasa mengejutkan kami.

“Kami pernah mengumpul sehingga 100 kg sampah dalam tempoh sejam di Pantai Pasir Panjang, Santubong,” katanya.

Ketua bersama Dr Brian Sim Mong Huat, 33, berkata orang ramai sering tidak menyedari jumlah sampah yang terdapat di kawasan awam sehingga mereka sendiri menyertai aktiviti pembersihan.

Bagi Brian, aktiviti itu kini lebih daripada sekadar kerja sukarela, dan menyifatkannya sebagai terapeutik dan memberikan kepuasan, terutama apabila dapat melihat perubahan selepas kawasan yang dipenuhi sampah dibersihkan.

“Orang ramai mungkin menganggap sesuatu tempat itu kelihatan bersih, tetapi anda akan sedar sampah sarap ada di mana-mana,” kata doktor yang berkhidmat di Hospital Umum Sarawak itu.

Beliau berkata antara barangan yang paling kerap dikutip ialah puntung rokok, cawan plastik, bekas makanan bungkus dan pembungkusan makanan, sekali gus mencerminkan masalah pertambahan sisa sekali guna di kawasan awam.

Apa yang bermula sebagai inisiatif kecil dalam kalangan rakan kini berkembang menjadi antara gerakan sukarelawan alam sekitar paling aktif di Kuching, dengan penyertaan pelajar, agensi kerajaan, kampung dan syarikat swasta.

Bagi sukarelawan dan pelajar kimia Universiti Malaya Khairunnisa Syuhada Mohamad Ossen, 20, berkata pada awalnya dia sertai sekadar memenuhi tugasan, namun pengalaman yang diperoleh telah  mengubah perspektifnya terhadap tanggungjawab menjaga alam sekitar.

“Selepas melihat jumlah sampah yang kami kutip dalam tempoh kurang sejam, saya sedar masalah ini jauh lebih serius daripada yang saya jangkakan,” katanya. 

Shahrul berkongsi bahawa sesetengah program pembersihan kini berjaya menarik sehingga 100 sukarelawan menerusi kerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuching Utara dan institusi lain termasuk universiti.

Selain mengutip sampah, anak jati Kuching itu berkata kumpulan berkenaan turut berharap dapat mendidik masyarakat mengenai kepentingan mengurangkan sampah dan mengelakkan penggunaan plastik sekali guna.

“Kami membersih, mendidik dan mengubah. Melalui media sosial dan aktiviti, kami mahu orang ramai sedar bahawa setiap individu mempunyai peranan dalam melindungi alam sekitar,” katanya.

Di sebalik sokongan yang semakin meningkat itu, Shahrul berharap lebih ramai orang khususnya golongan belia akan terus tampil menjadi sukarelawan walaupun hanya meluangkan masa sejam setiap hujung minggu. – Bernama

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Kraf perkukuh perpaduan, pacu ekonomi kreatif Sarawak
Next: Nanta nyatakan hasrat bertanding pada PRN Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.