
KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) akan menganjurkan Kempen Beli Balik di kawasan parkir Emart Batu Kawa esok dari 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.
Pengerusi MPP, Kaunselor Tan Kai berkata kempen tersebut yang dianjurkan dengan kerjasama beberapa agensi dan pertubuhan bukan kerajaan bertujuan meningkatkan kesedaran alam sekitar serta pengurusan sisa pepejal yang lebih teratur dalam kalangan masyarakat.
Kempen itu melibatkan pengumpulan bahan kitar semula, minyak masak terpakai dan sumbangan pakaian terpakai dengan kerjasama Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak, Jabatan Alam Sekitar, Trienekens Sarawak Sdn. Bhd, Kim Huang Enterprise dan Tzu Chi Foundation Kuching.
Menurut Tan, inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan MPP dalam mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, hijau dan sihat untuk penduduk Padawan.
“Penduduk tempatan digalakkan membawa bahan kitar semula dan menyumbangkan pakaian terpakai. Melalui kempen ini, kami berharap penggunaan tapak pelupusan sampah dapat dikurangkan serta pencemaran alam sekitar dapat diminimumkan melalui pengasingan sisa pepejal yang betul,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut berkata MPP akan menyediakan kaunter bergerak bagi memudahkan orang ramai membayar cukai taksiran selain membuka reruai kesedaran berkaitan kitar semula dan kesihatan awam.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui laman Facebook rasmi MPP.
Oleh Connie Chieng