KPM teliti kesediaan pelaksanaan elemen TVET di sekolah rendah

Facebook
WhatsApp
MENTERI Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Oktober: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti keberkesanan serta kesediaan pelaksanaan elemen Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) di sekolah rendah.

Menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, KPM memaklumkan kandungan kurikulum yang dirangka adalah mengikut tahap perkembangan murid dan bukan bertujuan melatih murid untuk pekerjaan terlalu awal.

“Sebaliknya, kandungan tersebut membina asas pengetahuan, kemahiran dan nilai melalui aktiviti teknologi, reka bentuk, penghasilan produk, penyelesaian masalah, kreativiti, pemikiran komputasional serta amalan kerja yang selamat,” menurutnya.

KPM menjawab pertanyaan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) mengenai sama ada kajian keberkesanan dan kesediaan telah dilaksanakan berhubung pelaksanaan TVET di sekolah rendah mulai sesi persekolahan 2027, termasuk kandungan kurikulum, kompetensi guru, kemudahan serta impak terhadap perkembangan murid.

Menurut kementerian itu, pendekatan pembelajaran berasaskan projek dan pengalaman sebenar membolehkan murid meneroka masalah mudah, menjana idea, mereka bentuk, menghasilkan, menguji dan menambah baik hasil kerja.

“Pendekatan ini juga menyokong pembentukan kompetensi murid yang dihasratkan dalam KP2027, iaitu perkembangan diri, komunikasi, tanggungjawab, fasih digital, literasi pelbagai, kemahiran berfikir dan pembelajaran sepanjang hayat,” menurutnya.

Bagi memastikan kesiapsiagaan guru, KPM menyediakan dokumen kurikulum yang jelas, bahan sokongan pengajaran dan pembelajaran (PdP), modul bimbingan guru serta program penataran terancang secara bersemuka dan e-pembelajaran.

“Sokongan ini memfokuskan kefahaman kandungan, pelaksanaan pembelajaran berasaskan projek, pengurusan aktiviti secara selamat, penggunaan peralatan asas, pentaksiran pembelajaran murid dan pengintegrasian elemen TVET dalam PdP,” menurut kementerian itu.

Dari aspek kemudahan dan prasarana, KPM mengenal pasti keperluan ruang, peralatan, bahan dan peranti berdasarkan kandungan kurikulum serta aktiviti pembelajaran, dengan penyediaan prasarana dilaksanakan secara berperingkat mengambil kira kesesuaian, keselamatan, kebolehlaksanaan dan keupayaan sekolah.

Dalam jawapan berasingan mengenai jurang kualiti pembelajaran digital murid antara bandar dan luar bandar, KPM memaklumkan tumpuan diberikan kepada pembinaan asas ekosistem pembelajaran digital yang dikuasakan kecerdasan buatan (AI) bagi tempoh 2026 hingga 2027.

Menurut kementerian itu, ia merupakan langkah jangka pendek selari dengan Dasar Pendidikan Digital (DPD) yang dijangka dilaksanakan secara berperingkat dalam tiga fasa Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026 hingga 2035.

Fasa itu merangkumi pembangunan pelantar pembelajaran Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) 3.0, pelaksanaan rintis AI-Powered Classroom di 27 sekolah terpilih di kawasan bandar dan luar bandar serta latihan awal kepada pendidik, dengan seramai 3,662 guru telah diberikan latihan sehingga 7 Oktober 2026.

“KPM turut melaksanakan pengukuran Tahap Kompetensi Digital Murid dengan menggunakan instrumen Skor Kompetensi Digital (Digital Competency Score) sama ada mencapai tahap kompetensi digital pada tahap Intermediate, Advanced atau Innovator bagi yang mencapai tahap, manakala bagi kategori murid yang tidak mencapai tahap akan dikelaskan pada tahap Novice dan Beginner,” menurutnya.

Ia bagi menjawab pertanyaan Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) mengenai garis masa serta mekanisme khusus kerajaan bagi menjamin RPM 2026 hingga 2035 berupaya mengatasi masalah jurang kualiti pembelajaran digital antara murid di kawasan bandar dan luar bandar.

Bagi fasa jangka sederhana 2028 hingga 2030 di bawah Teras Strategik 4, Memantapkan Prasarana Fizikal dan Digital di semua Institusi KPM, pelaksanaan akan diperluas secara berperingkat berdasarkan dapatan projek rintis dan tahap kesediaan institusi pendidikan, dengan keutamaan diberikan kepada institusi yang mempunyai jurang capaian lebih tinggi, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Bagi fasa jangka panjang 2031 hingga 2035, KPM akan melaksanakan pembelajaran diperibadikan berasaskan AI, DELIMa, Learning Management System (LMS) serta Rangkaian Kawasan Setempat (LAN) (Local Area Network) dan Rangkaian Kawasan Luas (WAN) (Wide Area Network atau) secara menyeluruh dan optimum.- Bernama