
LIMBANG: Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan semua sekolah di seluruh negara supaya melaksanakan pemeriksaan menyeluruh terhadap aspek keselamatan di premis sekolah susulan insiden pelajar maut dipercayai akibat renjatan elektrik di Sarawak baru-baru ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kejadian tersebut menjadi peringatan serius bahawa aspek keselamatan di sekolah tidak boleh dipandang ringan atau dikompromi.

Menurut beliau, semua pentadbir sekolah diarahkan membuat semakan segera terhadap setiap ciri keselamatan termasuk pendawaian elektrik, longkang, kawasan berlubang, paku serta lokasi berbahaya di kawasan sekolah.
“Saya juga ingin mengucapkan takziah kepada keluarga pelajar terbabit. Kejadian ini di luar jangkaan kita, namun ia memberi isyarat sangat kuat bahawa aspek keselamatan di sekolah tidak boleh dikompromi.

“Arahan saya cukup jelas kepada semua pentadbir sekolah supaya memastikan semua ciri keselamatan disemak sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Tindak Susul Parlimen (TSP) Siri 1 di Limbang, hari ini.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, KPM kini sedang menambah baik garis panduan keselamatan sekolah dengan mendapatkan khidmat Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).
Katanya, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) turut diarahkan memberi perhatian berterusan terhadap aspek penyelenggaraan dan keselamatan sekolah.

Dalam kejadian pada Rabu lalu, seorang pelajar Tingkatan Empat dilaporkan maut manakala seorang pelajar Tingkatan Tiga cedera parah selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika hendak mengambil wuduk di sebuah sekolah menengah di Daro.
Program Tindak Susul Parlimen Siri 1 tersebut diadakan bagi menangani isu-isu berkaitan pendidikan yang dibangkitkan di kawasan Limbang, Sarawak.
Oleh Shahrul Qaizat