KUALA LUMPUR, 14 Oktober: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengkaji keperluan pembinaan sebuah balai bomba kecil di Pulau Bruit, Daro, Sarawak berdasarkan indeks risiko kebakaran di kawasan itu.
Menterinya Nga Kor Ming berkata kajian itu akan menentukan keperluan pembinaan balai bomba berkenaan sebelum cadangan dikemukakan dalam masa terdekat, sekiranya didapati perlu.
“Kita akan menggunakan kajian selidik untuk memastikan pembinaan balai bomba itu mengikut indeks risiko kebakaran,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) mengenai cadangan membina balai bomba kecil di Pulau Bruit susulan kejadian kebakaran hutan yang berulang hampir setiap tahun pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah menggerakkan 27 anggota untuk operasi pemadaman bagi tiga kejadian utama kebakaran hutan di Pulau Bruit antara 10 Ogos hingga 13 September lepas, melibatkan kawasan seluas 42 hektar.
Kawasan terjejas meliputi Jalan Tanjung Gelang, Kampung Bruit seluas 29 hektar, Kampung Kut (lapan hektar) dan jalan menuju Kampung Penuai (lima hektar).
Dalam pada itu, Nga berkata pemantauan kualiti udara di Sarawak dilaksanakan melalui gabungan stesen kendalian Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS), melibatkan lima stesen pemantauan, 12 stesen pemantauan berterusan dan sebuah stesen mudah alih.
Beliau berkata tindakan undang-undang juga boleh dikenakan terhadap pihak yang melakukan pembakaran terbuka tanpa kebenaran bertulis, dengan kesalahan di bawah Seksyen 30(1)(a) dan Seksyen 30(2) Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, selain denda tambahan bagi kesalahan berterusan. – Bernama





