
JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menyegerakan keseluruhan proses tindakan undang-undang melibatkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.
Menteri berkenaan Datuk Armizan Mohd Ali berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan (JTPAP) pada 6 April lepas.
Beliau berkata proses tersebut meliputi siasatan, penyediaan kertas siasatan, pendakwaan, pendengaran sehingga pelupusan kes di mahkamah dengan keutamaan akan diberikan kepada kes-kes kartel sindiket diesel, petrol, Gas Petroleum Cecair (LPG) dan bekalan kawalan lain.
“Pendekatan ini bertujuan mempercepat tindakan terhadap pihak yang terlibat dalam penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan, khususnya bahan api, di samping menjadi mekanisme pencegahan dan pengurusan risiko.
“Dalam situasi krisis tenaga global yang kini memasuki fasa krisis bekalan, tindakan tegas dan pantas amat penting bagi memastikan keterjaminan bekalan untuk rakyat dan kegunaan di dalam negara.
“Kita mahu menyampaikan isyarat jelas kepada pihak yang bertanggungjawab bahawa kerajaan amat serius dan akan mengambil tindakan yang tegas untuk mengekang daripada tindakan yang bertentangan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau sebuah stesen minyak bersempena dengan Lawatan Kerja Rasmi di Taman Mount Austin di sini, hari ini.
Susulan keputusan itu, Armizan berkata KPDN telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan serta menerima maklum balas positif untuk mempercepat proses pendakwaan.
Selain itu, katanya, antara penambahbaikan yang dicadangkan termasuklah mewujudkan saluran fast-track, pelantikan hakim khusus serta penyelarasan pasukan pengurusan kes antara agensi.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata pelaksanaan Ops Tiris 4.0 (BERSEPADU) sejak 16 Mac hingga semalam merekodkan 20,020 pemeriksaan di seluruh negara dengan 362 kes dikesan serta 105 individu ditahan.
Beliau berkata kes melibatkan diesel mencatat jumlah tertinggi sebanyak 157 kes, diikuti petrol, LPG, minyak masak, gula dan tepung gandum.
Katanya, bagi negeri Johor, sebanyak 2,227 pemeriksaan dilakukan dengan 23 kes direkodkan, termasuk 13 kes melibatkan diesel.- Bernama