
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah bahawa Baginda akan memilih Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu bagi menerajui suruhanjaya berkenaan.
Menerusi hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa tiada keperluan untuk mana-mana pihak mempolitikkan perkara itu.
Sultan Ibrahim bertitah jawatan berkenaan amat penting dalam memastikan SPRM terus berperanan secara berkesan sebagai institusi utama negara dalam membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
“Saya akan menentukan siapa calon terbaik untuk menerajui SPRM selepas ini,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO) hari ini. – Bernama