
KUCHING: Sebuah lori membawa muatan tanah dilaporkan menjatuhkan dua tompokan tanah di Jalan Lapangan Terbang Kuching sekitar 3.30 petang tadi, sekali gus menimbulkan kebimbangan pengguna jalan raya.
Pemandu yang menuju ke arah lapangan terbang memaklumkan terdapat satu tompokan tanah hitam sebelum lampu isyarat dan satu lagi selepas persimpangan tersebut.
Bagaimanapun, kejadian itu berlaku di luar waktu puncak, menyebabkan pengguna jalan raya masih dapat mengelak kawasan terjejas tanpa gangguan besar.
Ketika dihubungi, Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak, Michael Kong Feng Nian menegaskan bahawa semua lori yang membawa bahan seperti tanah, pasir atau batu diwajibkan menggunakan penutup kanvas.
Beliau berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak dan polis boleh mengambil tindakan terhadap pemandu yang melakukan pemuatan tidak selamat, termasuk muatan berlebihan atau kegagalan menutup muatan dengan sempurna.

Dalam kes tumpahan yang menyebabkan kekotoran atau bahaya di jalan awam, beliau menjelaskan bahawa tanggungjawab penguatkuasaan dan kerja pembersihan terletak di bawah pihak berkuasa tempatan serta Jabatan Kerja Raya (JKR).
Tambahnya, pihak majlis juga boleh mengeluarkan surat amaran dan kompaun di bawah Undang-Undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkaitan kebersihan bagi kesalahan membuang kotoran atau menyebabkan kekacauan di tempat awam.
Beliau turut menggesa semua pengendali kenderaan berat memastikan muatan tidak berlebihan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini yang boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.
Oleh Connie Chieng