
SIBU: Semangat perpaduan dan kekeluargaan terus diperkukuh apabila sekitar 50 ahli menghadiri Majlis Penutupan Sambutan Gawai Dayak 2026 anjuran Koperasi Wanita Sarawak Berhad (KOWASA) Cawangan Sibu, hari ini.
Pengerusi KOWASA Cawangan Sibu, Sharifah Faridah Wan Hamid berkata, sambutan Gawai bukan sekadar meraikan adat dan budaya masyarakat Dayak, malah menjadi medan terbaik untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli koperasi yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.
Menurut beliau, komitmen dan sokongan yang diberikan oleh setiap ahli telah memastikan setiap program anjuran KOWASA dapat dilaksanakan dengan jayanya.
“Sambutan ini bukan sahaja meraikan tradisi dan warisan budaya masyarakat Dayak, tetapi juga menjadi lambang perpaduan yang menyatukan kita semua,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli yang sentiasa memberi kerjasama dan komitmen dalam menjayakan aktiviti koperasi.
Katanya, sempena musim perayaan Gawai, semua ahli digalakkan terus memperkukuhkan silaturahim, saling memaafkan serta memperbaharui tekad untuk memajukan KOWASA pada masa hadapan.
“Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Gawai kepada semua yang meraikannya. Semoga perayaan ini membawa lebih banyak rezeki, kesihatan dan kejayaan kepada kita semua,” ujarnya.
Majlis penutupan itu diakhiri dengan acara merebah ranyai sebagai simbolik berakhirnya Sambutan Gawai Dayak 2026 peringkat KOWASA Cawangan Sibu dalam suasana penuh muhibah dan kebersamaan.
Oleh Tarani Lanting