KUCHING: Masih banyak perkara dan perhatian khusus yang perlu diberikan di Kota Samarahan pada masa ini.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata Kota Samarahan tetap menjadi keutamaan dan kawasan berkenaan tidak akan pernah dilupakannya.
“Projek yang sedang dilaksanakan seperti pemasangan lampu jalan, sistem perparitan, projek rancangan tebatan banjir dan projek lain diharap dapat diteruskan dengan sebaiknya tanpa sebarang masalah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Rubiah yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan berharap masyarakat Kota Samarahan sentiasa menjaga kesihatan, lebih-lebih lagi dengan kewujudan kes melioidosis (jangkitan bakteria).
“Sehubungan itu, saya berharap kes melioidosis ini dapat dikawal dengan sebaiknya dan saya mendoakan agar penduduk di Kota Samarahan sentiasa sihat serta dilindungi daripada sebarang ancaman,” katanya.
Berhubung pelantikan beliau sebagai Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Rubiah menyatakan penghargaan kepada warga Kota Samarahan yang memberi sokongan kepadanya.
“Saya merupakan antara 27 timbalan menteri yang menyertai barisan pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang julung kali dilaksanakan di negara ini,” katanya.
Oleh NICKELYSON LAKUN