
GUADALAJARA, Mexico: Korea Selatan memulakan kempen Piala Dunia dengan langkah kanan apabila menewaskan Republik Czech 2-1 sebentar tadi selepas berjaya memanfaatkan sebahagian daripada banyak peluang yang dicipta.
Sehingga minit ke-80, Republik Czech dilihat berpeluang menghukum kegagalan Korea Selatan menyempurnakan peluang, namun pemain gantian Oh Hyeon-gyu muncul penjaring gol kemenangan di Stadium Guadalajara yang tidak dipenuhi penonton.
Pasukan Korea Selatan yang diketuai Son Heung-min menguasai separuh masa pertama, namun gagal menterjemahkan penguasaan mereka kepada jaringan.
Bekas bintang Tottenham Hotspur itu melepaskan satu percubaan melepasi palang sebelum melakukan larian deras dari sebelah kiri, melepasi dua pertahanan Czech, namun rembatannya tersasar.
Separuh masa kedua yang menarik bermula dengan Republik Czech menjaringkan gol meskipun diasak lawan apabila Ladislav Krejci melonjak di tiang hadapan untuk menanduk masuk bola melepasi penjaga gol Korea Selatan, Kim Seung-gyu.

Hwang In-beom akhirnya memastikan tekanan Korea Selatan membuahkan hasil menerusi gol penyamaan yang bijak apabila beliau memperdayakan lawan dengan gerakan seolah-olah mahu melakukan rembatan sebelum melambungkan bola melepasi penjaga gol Czech, Matej Kovar pada minit ke-67.
Republik Czech kemudian menyaksikan satu jaringan dibatalkan sebelum Hwang melengkapkan aksi cemerlangnya dengan mencipta bantuan gol menerusi hantaran lintang dari sebelah kanan yang disudahkan Oh untuk gol kemenangan.
Sebaik wisel penamat dibunyikan selepas penghujung perlawanan yang mendebarkan, Son rebah ke padang sebagai tanda kegembiraan.
Korea Selatan akan berdepan tuan rumah bersama, Mexico, yang menewaskan Afrika Selatan 2-0 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A lebih awal pada Khamis, pada 18 Jun.
Republik Czech pula akan menentang Afrika Selatan di Atlanta pada hari yang sama. – AFP