
SEOUL: Korea Selatan hari ini melaporkan kematian pertama tahun ini akibat penyakit berkaitan haba susulan gelombang panas awal, sekali gus menjadi kes paling awal direkodkan dalam mana-mana tahun, lapor Agensi Berita Yonhap memetik pihak berkuasa kesihatan.
Seorang lelaki berusia lingkungan 80-an di Seoul dilaporkan meninggal dunia akibat penyakit berkaitan haba, menurut Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA), memetik sistem pemantauan bilik kecemasan bagi penyakit berkaitan haba.
Kes itu merupakan kematian berkaitan haba paling awal sejak sistem pemantauan berkenaan diperkenalkan. Tahun ini, KDCA mula melaksanakan sistem pemantauan itu di 516 bilik kecemasan di seluruh negara semalam.
Kematian berkaitan haba paling awal itu dilaporkan ketika gelombang panas luar biasa melanda lebih awal. Suhu maksimum purata negara itu mencecah 28.2 darjah Celsius hari ini manakala suhu harian tertinggi di Seoul mencapai 31.3 darjah Celsius, lebih panas daripada purata musim.
Sebanyak tujuh pesakit mendapatkan rawatan di bilik kecemasan akibat penyakit berkaitan haba semalam. Mengikut wilayah, Gyeonggi yang mengelilingi Seoul merekodkan jumlah pesakit tertinggi dengan empat kes, diikuti ibu negara itu dengan dua kes dan Incheon, di barat Seoul, dengan satu kes. – Bernama