
ROM: Sebuah kereta merempuh pejalan kaki di bandar Modena, utara Itali pada Sabtu, menyebabkan lapan cedera, dengan empat daripada mereka berada dalam keadaan serius, lapor Xinhua memetik agensi berita ANSA Itali.
Datuk Bandar Modena Massimo Mezzetti memberitahu media tempatan bahawa pemandu berusia 31 tahun itu memandu ke atas laluan pejalan kaki di pusat bandar, melanggar beberapa pejalan kaki sebelum merempuh cermin sebuah premis perniagaan.
Saksi berkata pemandu itu kemudiannya keluar dari kereta dan menikam seorang pejalan kaki yang cuba menghalangnya.
Pemandu itu telah ditahan dan sedang disoal siasat di ibu pejabat polis.
Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni menyifatkan insiden itu sebagai “amat serius” menerusi hantaran di media sosial, sambil memaklumkan bahawa beliau sedang berhubung dengan pihak berkuasa tempatan.
Perkhidmatan kecemasan termasuk polis, pasukan gendarmeri kebangsaan dan polis kewangan telah tiba di lokasi kejadian. Siasatan sedang dijalankan.- Bernama-Xinhua