
SIMANGGANG: Koperasi terus diiktiraf sebagai pemangkin utama ekonomi rakyat, khususnya di peringkat akar umbi dalam menjana pendapatan, membuka peluang pekerjaan dan membantu menangani kos sara hidup yang semakin mencabar.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie berkata, peranan koperasi tidak harus dipandang ringan kerana ia terbukti mampu memperkukuh ekonomi komuniti secara kolektif dan inklusif.
Menurut beliau, melalui pendekatan berkoperasi, masyarakat dapat berganding bahu meningkatkan taraf hidup selain mewujudkan peluang ekonomi baharu yang lebih mampan.
“Koperasi bukan sahaja platform perniagaan, malah ia juga instrumen pembangunan sosial yang menyatukan komuniti dalam usaha meningkatkan kesejahteraan bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program JOM@COOP Turun Padang Memasyarakatkan Koperasi Jelajah Platinum IKMa 70 Tahun di sini hari ini.

Tambah beliau, program seperti JOM@COOP memainkan peranan penting dalam memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai potensi sebenar koperasi serta menggalakkan penyertaan aktif dalam ekonomi berasaskan komuniti.
Dalam pada itu, Doris turut menegaskan bahawa kestabilan politik merupakan asas penting kepada kekuatan ekonomi sesebuah negara.
Katanya, dengan kestabilan politik dan dasar yang konsisten, pelbagai inisiatif pembangunan termasuk dalam sektor koperasi dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan berimpak tinggi.
Beliau juga menekankan bahawa kestabilan yang dinikmati di Sarawak ketika ini perlu terus dipelihara bagi memastikan pembangunan berterusan, terutama di kawasan luar bandar.
Sehubungan itu, beliau menggesa generasi muda agar melihat koperasi sebagai platform masa depan yang berdaya saing dan mampu menawarkan peluang luas dalam bidang keusahawanan serta pembangunan ekonomi.
Oleh Adi Safarman