BETONG: Betong bersedia menjadi tuan rumah bagi acara terbesar tahun ini iaitu Konvensyen Mini Kedua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada hari ini (26 September 2020).
Program sehari yang akan diadakan di Dewan Tan Sri Stephen Kalong Ningkan itu bermula seawal 7.00 pagi untuk membolehkan pendaftaran perwakilan, diikuti dengan pembentangan empat kertas kerja dan seterusnya taklimat pilihan raya untuk pegawai bertugas dari zon tersebut.
Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi akan menjadi pembentang pertama bagi menyampaikan usul mengenai ‘Kerjasama Strategik: Pembangunan Infrastruktur’ dan diikuti Menteri Utiliti, Datuk Sri Dr. Stephen Rundi Utom yang akan membincangkan mengenai projek utiliti.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang juga Presiden PBB dijangka tiba pada 10.30 pagi untuk merasmi serta membuat perbahasan pada konvensyen tersebut, diikuti dengan penyerahan usul oleh Julaihi kepada Abang Johari.
Sementara itu, pada sebelah petang, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato’ Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar akan memberi ceramah mengenai insentif dan pembangunan keusahawanan, diikuti oleh Timbalan Pengarah Jabatan Tanah Dan Survei Awang Zamhari Awang Mahmood yang akan membincangkan hal-hal dan isu tanah.
Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah yang merupakan ketua penganjur konvensyen berkata, kira-kira 650 perwakilan dari 14 cawangan akan menghadiri majlis tersebut.
“Mereka datangnya dari Sebuyau, Lingga, Beting Maro, Balai Ringin, Bukit Begunan, Simanggang, Engkilili, Batang Ai, Saribas, Layar, Bukit Saban, Kalaka, Krian dan Kabong, manakala kira-kira 100 ahli tertinggi dan 50 ahli veteran turut akan hadir,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban itu menambah, konvensyen itu akan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi membendung penularan Covid-19.
Terdahulu, Uggah bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Gerald Rentap Jabu dan Setiausaha Politik Ketua Menteri, Dr. Richard Rapu menghadiri latihan untuk upacara pembukaan konvensyen tersebut, semalam.
Oleh Zarina Abdullah