PETRA JAYA: Bandar raya Kuching bakal menjadi tuan rumah kepada konsert kumpulan disko terkenal antarabangsa, Boney M, pada 4 Januari 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, konsert ini adalah sebahagian daripada siri jelajah ulang tahun ke-50 kumpulan tersebut yang akan bermula di Sarawak sebelum meneruskan perjalanan ke Jakarta, Kuala Lumpur dan Singapura.
Katanya, penganjuran konsert ini adalah satu penghormatan besar kepada Sarawak kerana menjadi lokasi pertama dalam siri jelajah kumpulan legenda genre disco itu.
“Kami amat teruja apabila Boney M memilih Kuching sebagai lokasi pelancaran jelajah mereka. Lagu seperti Daddy Cool, Rivers of Babylon, dan Rasputin pasti membawa nostalgia kepada peminat muzik era 1970-an dan 1980-an.
“Konsert ini bukan sekadar hiburan tetapi juga menjadi platform penting untuk mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan antarabangsa yang dinamik dan berdaya saing.
“Kami menjangka kehadiran peminat dari dalam dan luar negara, termasuk dari Brunei, Indonesia, dan Singapura. Acara ini juga dijangka memberi impak positif kepada sektor pelancongan dan ekonomi negeri,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media konsert jelajah Boney M di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.
Sarawak menutup 2024 dengan cemerlang apabila mencatatkan 4.3 juta kedatangan pelawat setakat akhir November, melebihi sasaran awal sebanyak empat juta pelawat.
Melangkah ke 2025, kerajaan negeri menyasarkan lima juta pelawat, sasaran tertinggi dalam sejarah pelancongan negeri ini.
“Ini adalah cabaran besar bagi kami, tetapi kami yakin dapat mencapainya dengan penganjuran acara antarabangsa seperti konsert Boney M, Festival Hutan Hujan Sedunia, Festival Bot Naga Antarabangsa, Regata dan pelbagai festival lain,” ujar beliau.
Sepanjang tahun ini, Sarawak telah menganjurkan 238 acara termasuk acara muzik, budaya, sukan, dan makanan, menjadikan negeri ini sebagai destinasi yang ‘hidup’ dan penuh dengan aktiviti sepanjang tahun.
“Dengan hanya 365 hari dalam setahun, anda boleh bayangkan bagaimana kami berjaya menganjurkan lebih separuh daripadanya dengan pelbagai acara. Kejayaan ini tidak mungkin tercapai tanpa sokongan rakyat Sarawak,” katanya.
Menurut Pengarah Eksekutif Front Row, Eddie Zaid Zaidi, mereka menyasarkan sebanyak 4,000 pengunjung bagi membanjiri BCCK pada 4 Disember nanti.
Katanya, setakat ini 70 peratus tiket untuk ke konsert tersebut sudah terjual.
“Untuk tiket bagi kategori D, kesemua tiket sudah terjual, sejak kami membuka jualan tike sejak 16 Oktober lalu,” katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT