KUCHING: Seramai 235 peserta bakal menyemarakkan Konsert dan Pertandingan BE A STAR K-Pop Dance 2026 yang menyediakan pentas kepada bakat muda dalam bidang tarian K-pop di Kuching, dari 9 hingga 11 Oktober ini.
Program anjuran Star Studio dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) itu akan berlangsung di SJK(C) Chung Hua No. 3, Kuching.
Datuk Bandar Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng berkata, acara berkenaan bukan sekadar memberi ruang kepada golongan muda untuk berhibur, malah menyediakan platform bagi mereka membina disiplin, keyakinan diri, kecergasan dan kemahiran bekerja dalam pasukan.
Menurutnya, tarian, muzik dan seni persembahan mempunyai nilai positif yang boleh membantu golongan muda meneroka minat serta mengenal pasti bakat masing-masing.
“Apabila golongan muda menari, mereka kekal aktif dan dapat meningkatkan kecergasan, stamina, koordinasi serta pergerakan.

Pada masa yang sama, persediaan untuk sesuatu persembahan memerlukan disiplin, komitmen, kerja berpasukan dan keyakinan diri,” katanya ketika sidang media BE A STAR 2026 di Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) hari ini.
Beliau berkata, tidak semua golongan muda berkembang dalam bidang akademik atau sukan, justeru ruang dalam seni kreatif turut penting bagi membantu mereka membina keyakinan dan menyerlahkan potensi.
Katanya, pendekatan itu juga selari dengan usaha MBKS menerusi Inisiatif Bandar Raya Mesra Kanak-Kanak yang bukan sahaja menumpukan kepada kemudahan dan infrastruktur, tetapi turut menyediakan peluang kepada kanak-kanak dan golongan muda untuk mengambil bahagian, menyuarakan idea serta mengembangkan bakat.
“Melalui acara seperti BE A STAR, golongan muda mempunyai platform untuk berlatih, membuat persembahan, bertemu individu yang mempunyai minat sama dan belajar daripada penggiat berpengalaman,” katanya.
BE A STAR 2026 merangkumi Seoul Vibe Festival yang berlangsung sepanjang tiga hari, pertandingan tarian kategori Open dan Solo pada 10 Oktober serta bengkel tarian bersama juri antarabangsa pada 11 Oktober.
Sebanyak 30 kumpulan menyertai kategori Terbuka dengan keseluruhan 235 peserta, manakala kategori Solo membabitkan 30 peserta.
Penyertaan turut datang dari Singapura, Indonesia, Sabah serta beberapa kawasan di Sarawak termasuk Miri, Sibu, Bintulu dan Kuching.
Barisan juri antarabangsa pula terdiri daripada Gooseul dan Jyo Jyo dari Korea Selatan serta Kimmiiz dari Thailand, manakala Sarawak diwakili Serina dari Kuching dan Julia dari Sibu.
Wee berkata, penglibatan bakat dari Sarawak, Korea Selatan dan Thailand memberi peluang kepada peserta tempatan mendapat pendedahan lebih luas serta mempelajari gaya dan pengalaman berbeza.
Festival Seoul Vibe turut mengetengahkan elemen kebudayaan dan makanan Korea menerusi jualan makanan jalanan Korea, barangan peminat dan K-pop, minuman, kopi, pastri, fesyen serta aksesori.
Festival itu turut menampilkan aktiviti K-pop Random Dance sebagai antara tarikan kepada pengunjung.
Selain pertandingan utama, BE A STAR 2026 turut menawarkan beberapa anugerah khas termasuk Rising Star Award, Best Young Talent Group Award dan Popularity Award.
Wee turut menggesa ibu bapa supaya terus memberi galakan kepada anak-anak menyertai aktiviti positif termasuk tarian, muzik, sukan dan bidang kreatif lain.
“Kadangkala, satu peluang sahaja sudah mencukupi untuk membantu seseorang anak muda menemui apa yang sebenarnya mampu dilakukan olehnya,” katanya.
Beliau turut mengalu-alukan orang ramai, khususnya golongan muda dan keluarga, untuk hadir menyokong BE A STAR 2026 yang berlangsung dari 9 hingga 11 Oktober ini.
Program berkenaan membawa slogan ‘Pentas Anda, Saat Anda, Impian Anda’.
Sementara itu, tiket persembahan pada 10 Oktober ditawarkan dalam tiga zon iaitu VIP, BAS Zone 1 dan BAS Zone 2, masing-masing bermula RM98, RM58 dan RM45 bagi harga pembelian awal, manakala harga biasa ialah RM138, RM78 dan RM55.
Pengunjung bawah 18 tahun boleh mendapatkan tiket BAS Zone 2 pada harga khas RM35, manakala pemegang tiket VIP turut menerima beg goodie Be A Star. Lightstick percuma turut diberikan kepada pengunjung terawal, tertakluk kepada stok.
Oleh Afiq Sallehi





