
SIBU: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) Cawangan Pelawan telah mengagihkan lebih 500 pek bubur lambuk kepada pengguna jalan raya di Jalan Lapangan Terbang Lama, di sini, semalam.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, inisiatif tersebut bukan sekadar sumbangan makanan, tetapi mencerminkan semangat perpaduan rakyat Sarawak.
“Tanpa mengira agama, sama ada Muslim atau bukan Muslim, kami bersatu memasak bubur lambuk dan mengagihkannya kepada para pengguna jalan raya serta sesiapa sahaja yang melintas di kawasan ini.
“Kami ingin berkongsi keberkatan ini dengan semua kerana kegembiraan dan keberkatan bubur lambuk wajar dinikmati oleh semua,” katanya kepada pemberita.
Menurutnya, program itu turut mendapat kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).


“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada pihak polis, bomba dan APM atas bantuan dan sokongan mereka dalam menjayakan acara ini. Tidak lupa juga kepada Lianxin atas tajaan mereka,” ujarnya.
Tambahnya, usaha sebegini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara masyarakat berbilang kaum, malah mencerminkan keharmonian yang menjadi asas perpaduan di Sarawak.
“Negeri ini adalah tempat yang indah untuk didiami dan program seperti ini mencerminkan semangat kebersamaan yang kita semua banggakan,” katanya.
Program agihan bubur lambuk ini menjadi acara tahunan Saberkas Pelawan dalam usaha mengukuhkan silaturahim dan menyebarkan semangat muhibah dalam kalangan masyarakat setempat.
Oleh Tarani Lanting