Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Konflik Asia Barat peringatan Malaysia percepat peralihan tenaga – Ahli akademik
  • NASIONAL

Konflik Asia Barat peringatan Malaysia percepat peralihan tenaga – Ahli akademik

Utusan Sarawak 9 hours ago
DR Tan Chee Meng, Pensyarah Fakulti Sains Sosial, Universiti Nottingham Malaysia. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Seorang ahli akademik mengingatkan bahawa konflik di Asia Barat menjadi peringatan jelas kepada Malaysia supaya mempercepat peralihan kepada tenaga boleh baharu (TBB) secepat mungkin bagi mengelakkan risiko serta tekanan kos susulan lonjakan luar jangka harga minyak mentah.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial, Universiti Nottingham Malaysia, Dr Tan Chee Meng berkata Malaysia perlu bertindak pantas mengurangkan risiko tenaga dan memperkukuh keselamatan tenaga menerusi kepelbagaian sumber seperti hidro, elektrik, solar dan juga tenaga angin.

Menurut beliau, negara juga perlu mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil seperti minyak mentah yang telah menyebabkan kenaikan harga diesel dan RON97.

Beliau berkata demikian dalam program Bernama World bertajuk, Global Energy Crisis and Malaysia’s Clean Energy Future.

Tan, yang juga Penolong Profesor Ekonomi Perniagaan di universiti berkenaan, berkata gangguan terhadap laluan penghantaran minyak mentah melalui laluan maritim utama Selat Hormuz, yang menyebabkan harga minyak di pam melonjak di peringkat global, turut memberi kesan besar kepada Malaysia.

Katanya, kenaikan harga minyak itu turut menyebabkan kerajaan menanggung beban kewangan yang besar susulan peningkatan ketara pembayaran subsidi petrol dan diesel apabila konflik tercetus antara Amerika Syarikat dan Iran pada 28 Februari, lepas.

“Malaysia terdedah kepada harga minyak global kerana walaupun negara merupakan pengeksport bersih gas, kita juga mengimport minyak mentah dari Arab Saudi untuk menggerakkan kilang penapisan.

“Apabila laluan tenaga utama, termasuk Selat Melaka misalnya, disekat dan tiada cara untuk mengangkut bekalan tenaga, keselamatan tenaga negara akan terjejas teruk,” katanya.

Beliau berkata keadaan itu merupakan masalah besar dan justeru Malaysia perlu memikirkan peralihan kepada teknologi hijau serta tenaga boleh baharu secepat mungkin bagi menggerakkan sektor industri.

Harga minyak mentah kini melepasi paras AS$105 setong selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan sekatan di Selat Hormuz susulan kegagalan rundingan hujung minggu dengan Iran di Pakistan.

“Semakin pelbagai sumber penjanaan tenaga yang kita miliki, semakin baik untuk menjamin keselamatan tenaga negara,” katanya.

Sehubungan itu, Tan berkata pakar turut mencadangkan supaya Malaysia mempercepat sasaran 2050 bagi merealisasikan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) kepada 2040.

Bagaimanapun, menurut beliau, persoalan utama ialah sama ada kerajaan dan sektor swasta sudah bersedia untuk peralihan berkenaan.

Beliau turut mempersoalkan sama ada wujud kerjasama mencukupi antara industri dan universiti bagi memastikan Malaysia bukan sekadar pengimport utama teknologi hijau, sebaliknya mampu bergerak ke arah ekonomi bernilai tinggi berasaskan teknologi berkenaan.

Katanya, antara cabaran utama ialah pengkomersialan harta intelek serta pembangunan ekosistem penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Malaysia perlu berdikari dengan teknologi sendiri supaya kita tidak bergantung kepada pihak lain sekiranya konflik berterusan,” katanya.

Dengan dorongan mencukupi daripada kerajaan dan sektor swasta, beliau berpandangan Malaysia mampu membangunkan keupayaan teknologi hijau dalam tempoh 15 hingga 20 tahun akan datang.

Beliau turut menekankan kepentingan inovasi dan bukan sekadar menjadi hab pemasangan, termasuk dalam bidang pembuatan semikonduktor berteknologi tinggi.

“STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik) amat penting untuk mengkomersialkan harta intelek serta menterjemahkan sains dan projek penyelidikan kepada produk sebenar yang boleh digunakan,” katanya.

Tan turut berkata kerajaan perlu menyediakan insentif mencukupi bagi menggalakkan peralihan kepada TBB, manakala sektor swasta perlu menyedari bahawa permintaan terhadap tenaga boleh baharu akan terus meningkat.

“Anda boleh menyekat Selat Hormuz dan bekalan minyak mentah, tetapi anda tidak boleh menyekat tenaga solar.

“Jika bekalan tenaga kita lebih pelbagai dan datang daripada sumber boleh baharu yang tersedia secara semula jadi, ia tidak bergantung kepada pengangkutan atau isu politik serta kestabilan politik.

“Malaysia pastinya berada dalam kedudukan lebih baik untuk mengharungi krisis tenaga. Kita perlu beralih kepada tenaga hijau atau sekurang-kurangnya memastikan sebahagian besar penggunaan tenaga negara datang daripada sumber boleh baharu,” katanya. – Bernama

Tags: Nasional

Continue Reading

Previous: CAAM lanjut tempoh kredit bagi bayaran fi dan caj penerbangan – Loke
Next: BDR bermula esok, lebih 200,000 penjawat awam terlibat

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.